Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Aceh Berdepan Wabak Penyakit Selepas Bencana Banjir
Indonesia – Wilayah Aceh dilaporkan berdepan krisis kesihatan apabila amaran peningkatan kes penyakit bawaan air dikeluarkan Kementerian Kesihatan Indonesia menurut CNN Indonesia.
Selepas dibadai ribut tropika pada akhir November yang memusnahkan kawasan Aceh Tamiang serta dua wilayah lain di Sumatera, angka korban terkini meningkat kepada 389 selepas penemuan 23 jenazah pada Isnin, sementara 62 lagi masih hilang, lapor Pengarah Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Banda Aceh, Ibnu Harris Al Hussain.
Kementerian berkenaan melaporkan terdapat peningkatan kes seperti cirit-birit, demam denggi dan myalgia yang ketara.
Keadaan ini dilaporkan berpunca daripada kawasan penempatan yang tidak bersih, sumber air yang tercemar serta fasiliti kesihatan yang rosak akibat bencana.
Terkini, agensi berita Detik melaporkan kira-kira 300 pusat kesihatan mengalami kerosakan sementara dianggarkan 50 lagi masih terputus hubungan.
Satu-satunya hospital di Aceh Tamiang dilaporkan mengalami kerosakan teruk, dengan peralatan perubatan dipenuhi lumpur, jarum suntik berselerakan dan bekalan ubat hanyut dibawa banjir.
Sementara itu, petugas kesihatan dilaporkan menjalankan tugas tanpa henti bagi merawat mangsa yang masih memerlukan bantuan.
Seorang jururawat, Nurhayati, 42 tahun, berkata hospital kini hampir lumpuh berikutan kekurangan ubat-ubatan.
Menurutnya, pasukan perubatan cuba menyelamatkan mesin ventilator di Unit Rawatan Intensif bayi, namun usaha tersebut gagal apabila paras air meningkat dan mengakibatkan mesin berkenaan tenggelam.
Difahamkan, seorang bayi meninggal dunia, manakala enam lagi berjaya diselamatkan.
“Semua orang mengenali saya sebagai jururawat. Apabila saya tidak mampu berbuat apa-apa, hati saya benar-benar hancur.
“Bencana ini memang dahsyat. Segalanya musnah,” rintih wanita berkenaan.
Dalam pada itu, kerosakan jambatan turut menyukarkan perjalanan untuk ke kawasan terjejas.
Salah seorang pegawai perubatan, Dr Chik M Iqbal berkongsi terpaksa menaiki bot untuk memasuki kawasan Aceh Tamiang. Berikutan itu, unit kecemasan hanya dapat kembali beroperasi pada Isnin.
Kerosakan pusat kesihatan di tiga wilayah berkenaan turut mengakibatkan rawatan pesakit dan penyaluran bantuan perubatan terganggu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang mengadakan lawatan ke Aceh pada Ahad telah mengarahkan gerak kerja pemulihan jambatan dan empangan dipercepatkan.
Beliau turut mengumumkan pembatalan pinjaman mikro kerajaan bagi petani yang terjejas.
Sementara itu, pejabat daerah di Sumetara menggesa kerajaan pusat mengisytiharkan darurat nasional bagi membolehkan bantuan kewangan tambahan disalurkan untuk operasi menyelamat dan pemulihan.
Sumber: CNN Indonesia