Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Selaras dengan penegasan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim semasa pelancaranRancangan Pendidikan Negara, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 telah digariskan sebagai pelan strategik nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara, daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi. Berteraskan tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, RPM menetapkan hala tuju sistem pendidikan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing, termasuk memartabatkan Bahasa Melayu, pengukuhan penguasaan Bahasa Inggeris serta penguasaan pelbagai bahasa sebagai asas memperkasa generasi masa hadapan.
Menghubungkan kerangka ke pelaksanaan, Amanat Tahun Baharu oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina binti Sidek, memperincikan bagaimana fokus KPM menterjemah hasrat RPM kepada tindakan di lapangan, memusatkan kepentingan murid dan pendidik, memperkukuh literasi sebagai asas masyarakat berilmu, dan memastikan intervensi yang menyasar jurang akses, khususnya di luar bandar serta komuniti berkeperluan, seiring aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai rakan pelaksana dalam ekosistem,Perbadanan Kota Buku (PKB)menyatakan sokongan penuh dan akan memacu usaha berikut yang menyokong teras RPM serta keutamaan Amanat, termasuk memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti dan menggalakkan budaya membaca sejak awal pendidikan melalui platform digital dan rangkaian pengagihan yang lebih menyeluruh.
“PKB akan terus memperkukuh pembangunan literasi melalui pengembangan platform digital dan pengagihan bahan bacaan yang relevan bagi mengurangkan jurang akses, khususnya di kawasan luar bandar serta komuniti berkeperluan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Puan Adibah binti Omar.
PKB turut mengambil maklum penegasan Menteri Pendidikan terhadap peranan PKB dalam menjadikan buku sebagai jambatan keadilan ilmu. Melalui pelaksanaan Baucar Buku pada tahun 2024 dan 2025, akses kepada bahan bacaan telah mencapai tahap tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus memastikan murid dan guru di Nanga Ulu dan Kinabatangan menikmati akses judul yang sama seperti di kawasan bandar. Usaha ini mencerminkan prinsip keadilan pendidikan yang menjadi teras kepada agenda KPM.
Sebagai kesinambungan kepada usaha tersebut, PKB menyokong pelaksanaan sumbangan satu juta buku tulis berasaskan kertas kitar semula kepada murid daripada keluarga B40. Bagi than 2026, inisiatif ini akan memanfaatkan murid terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menerusi kerjasama strategik antara PKB dan 27 syarikat korporat, dengan setiap murid menerima 10 buku tulis bagi menyokong keperluan pembelajaran harian mereka.
Dalam usaha menyemai minat membaca sejak usia awal, PKB turut menyokong pelaksanaan Mini Kota Buku Cilik selaras dengan Kurikulum Baharu Prasekolah 2026. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan amalan membaca secara konsisten di peringkat prasekolah, selain menyokong pembangunan literasi awal secara lebih terancang.
Pada masa yang sama, PKB akan bekerjasama dengan KPM dalam penyediaan peranti Braille digital kepada murid berkeperluan khas penglihatan, bagi memastikan akses pembelajaran yang lebih saksama dan inklusif. Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, selari dengan komitmen memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan.
Sebagai peneraju pembangunan ekosistem perbukuan negara, PKB komited memastikan setiap dasar dan amanat yang digariskan oleh Menteri Pendidikan dilaksanakan secara efektif, inklusif dan memberi impak jangka panjang. Kesemua inisiatif ini turut disokong melalui pembangunan BookCapital.my sebagai pusat sehenti ekosistem perbukuan negara, dengan buku dan pembacaan terus menjadi pemacu utama pembangunan insan serta sokongan kepada agenda pendidikan nasional.