Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Kesalahan Penggalian Objek Warisan Tanpa Lesen
Ramai masih tidak sedar bahawa aktiviti menggali tanah untuk mencari objek lama, artifak atau khazanah sejarah bukanlah perkara remeh.
Perbuatan ini sebenarnya tertakluk kepada undang-undang kerana ia melibatkan warisan negara yang perlu dilindungi.
Menurut penjelasan Jabatan Warisan Negara Zon Tengah – Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, sebarang aktiviti ekskavasi arkeologi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Ekskavasi arkeologi merujuk kepada aktiviti menggali tanah bagi tujuan mencari, mendedahkan atau mengeluarkan objek warisan, sama ada artifak, struktur purba, rangka manusia atau tinggalan sejarah lain.
Aktiviti ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya, walaupun atas alasan kajian, minat peribadi atau sekadar ingin mencuba nasib.
Tegas Jabatan Warisan Negara Zon Tengah – Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, perkara ini diperuntukkan secara jelas dalam Seksyen 86 Akta Warisan Kebangsaan 2005, yang menyatakan:
86. (1) Tiada seorang pun boleh menggali mana-mana tanah bagi maksud menjumpai sesuatu objek melainkan jika dia memegang suatu lesen yang diberikan oleh Pesuruhjaya.
86. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, setiap individu yang berhasrat melaksanaan kerja-kerja ekskavasi arkeologi mestilah mematuhi garis panduan dan syarat-syarat ditetapkan, termasuk syarat-syarat jumpaan objek dan hak keempunyaan objek.
MenurutBahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara:
(a) Mana-mana objek yang dijumpai hendaklah menjadi harta mutlak Kerajaan Persekutuan.
(b) Semua objek yang belum dijumpai sama ada yang terletak di atas atau tersembunyi di bawah permukaan tanah atau di dalam mana-mana sungai atau di dalam laut, hendaklah disifatkan sebagai harta mutlak Kerajaan Persekutuan.
(c) Dalam mana-mana prosiding undang-undang yang berhubungan dengan tarikh jumpaan objek mempunyai warisan kebudayaan yang penting, maka hendaklah dianggap sebagai telah dijumpai selepas permulaan tarikh kuatkuasa Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645] sehingga dibuktikan sebaliknya.
Warisan arkeologi bukan milik individu, sebaliknya milik bersama rakyat Malaysia. Setiap artifak yang ditemui mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan menjadi bukti kepada perjalanan tamadun negara.
Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penggalian tanpa lesen, serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penggalian objek warisan.
Sebarang cubaan menggali tanah untuk mencari objek warisan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan undang-undang. Akta Warisan Kebangsaan 2005 jelas melarang perbuatan ini dan menetapkan hukuman berat bagi melindungi khazanah sejarah negara.
Melindungi warisan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia.