Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Lafaz Cerai Bukan Mainan, Peguam Syarie Jelaskan Tentang Talak Dua
Penyatuan dua jiwa yang terlafaz dengan akad nikah hadir bersama tanggungjawab yang besar terhadap kedua suami dan isteri di samping kebahagiaan berkeluarga. Keserasian dan keseimbangan antara dua jiwa yang berbeza sebelum ini dicari dalam menongkah arus kehidupan dalam bahtera yang sama.
Namun, bagi mereka yang sudah tidak lagi serasi dan tidak mampu bertahan, Islam memberikan sebaik-baik jalan keluar buat kedua suami isteri iaitu perceraian. Seperti juga lafaz akad nikah, dengan sekali lafaz sahaja, pasangan sudah tidak lagi menjadi suami isteri yang sah.
Biarpun begitu, lafaz cerai tidak boleh diambil ringan. Lafaz ini tidak hanya memberi kesan terhadap ikatan perkahwinan, malah bakal mempengaruhi segala hukum berkaitan salasilah keluarga, termasuk isu perwarisan dan faraid kedua belah keluarga kelak.
Baru-baru ini, satu persoalan berkenaan lafaz cerai talak dua berlegar di ruang internet. Bagi menjawab kekeliruan warga maya, SK telah menemu bual dua orang peguam syarie iaitu Puan Sabrina Hamid dan Tuan Irsamuddin Ikhsan.
Sebelum menentukan bilangan talak yang jatuh, seseorang Muslim perlu mengetahui konsep lafaz talak mengikut hukum Islam. Bagi memahami konsep ini, Puan Sabrina memberikan contoh talak yang dilafazkan oleh pasangan yang belum pernah bercerai dan yang sudah pernah bercerai.
“Pertama sekali kita kena faham konsep lafaz talak ini berbahagi kepada lafaz soreh dan lafaz kinayah. Selepas faham maksud kedua konsep ini, baru kita dapat tentukan lafaz cerai itu dalam kategori yang mana satu,” jelasnya.
Menurut Puan Sabrina, lafaz yang mengandungi lafaz ‘cerai talak dua’ itu jatuh dalam kategori lafaz soreh, iaitu jelas tanpa ada kiasan dan mudah faham.
“Seorang suami yang menceraikan isteri dengan lafaz soreh, maka Hakim Mahkamah Syariah boleh mensabitkan lafaz tersebut adalah sah dan menjatuhkan talak terhadap lafaz berkenaan, tidak perlu kepada niat seperti lafaz kinayah,” katanya.
Sabrina menambah, jika pasangan belum pernah bercerai dan hakim mahkamah syariah telah menjatuhkan talak dua tersebut adalah sah, maka bilangan talak yang tinggal adalah berbaki satu talak sahaja.
“Berlainan pula dengan pasangan yang pernah bercerai kali pertama, kemudian berlaku lafaz talak kali kedua dengan talak 2, maka tiada lagi baki talak yang tinggal,” hurainya lanjut.
Untuk menentukan sama ada pasangan suami isteri boleh rujuk kembali atau tidak bagi yang masih ada baki talak, Puan Sabrina menerangkan ayat 229 dalam Surah Al-Baqarah menjadi rujukan. Ayat tersebut menerangkan talak yang boleh dirujuk hanya dua kali.
Menjelaskan lanjut, bagi pasangan yang sudah cukup tiga kali talak, ayat seterusnya yang menerangkan tentang kesan talak tiga dijadikan rujukan.
Menurut Tuan Irsamuddin Ikhsan pula, perkara ini bergantung kepada dua situasi ketika talak dilafazkan.
Jika tiada jumlah talak yang disebut, perceraian jatuh talak satu bagi kali pertama. Situasi ini hanya jika suami sememangnya tidak pernah melafazkan talak sebelum ini.
Jika suami menyebut ‘talak dua’, terdapat beberapa situasi yang perlu diambil kira bagi mengetahui jumlah talak yang sah ketika itu.
“Situasi talak dua ni begini. Ada pasangan sebelum dia melafazkan talak dua ni, dia pernah melafazkan talak satu. Boleh jadi maksud talak dua itu merujuk talak satu kali yang kedua. Maksudnya talak kedua (kali kedua).
“Situasi kedua, boleh jadi juga kalau sebelum itu dia (suami) telah melafazkan talak satu. Kemudian dia sebut talak dua, boleh jadi kalau dia bermaksud dua talak terus, maka pasangan itu telah jatuh terus tiga talak,” jelas peguam berkenaan.
Jadi bagi menentukan jumlah talak yang sudah terlafaz, Irsamuddin Ikhsan menasihatkan pasangan untuk merujuk perkara ini di mahkamah.
“Sebab itu apabila berlaku lafaz cerai atau apa-apa lafaz yang boleh merujuk ke arah perceraian, pasangan hendaklah memfailkan kes pengesahan lafaz cerai di mahkamah. Mahkamah akan siasat kedua-dua belah pihak, suami dan isteri.
“Selepas siasatan dilakukan oleh Yang Arif Hakim Bicara, barulah akan ada keputusan,” tambahnya lagi.
Sumber: Peguam Syarie Irsamuddin Fitri, Peguam Syarie Sabrina Hamid
BACA: Tabung Haji Perkenal Platform GoogleWalk, Bantu Jemaah Haji Navigasi Laluan Di Tanah Suci