Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Sayu, Tiga Beranak Mangsa Tanah Runtuh Ditemui Berpelukan Dalam Rumah
Tiga ahli keluarga yang menjadi mangsa tanah runtuh di kawasan Cisarua, Bandung Barat ditemui dalam keadaan berpelukan.
Memetik laporan Detik News, mangsa tiga beranak yang tertimbus di bawah tanah runtuh ditemui pada Ahad lalu.
Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Jawa Barat, Pesuruhjaya Kanan, Hendra Rochmawan berkata ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada bapa, ibu dan anak itu disahkan meninggal dunia.
Kesemua mangsa ditemui berpelukan di antara satu sama lain di rumah mereka.
"Ada sebuah keluarga di sini yang menyatakan bahawa sembilan saudara mereka tertimbus. Selepas itu kita menemui tiga sekeluarga ini saling berpelukan antara satu sama lain. Mereka berjaya dipindah keluar dari lokasi kejadian," katanya.
Sementara itu, Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB) melaporkan bahawa jumlah kematian akibat tanah runtuh di dusun Pasir Kuning dan Pasir Kuda di Kampung Pasirlangu meningkat kepada 17 orang.
Daripada jumlah itu, 11 mayat telah dikenal pasti.
"Pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) kini telah berjaya mengenal pasti 11 mayat dan enam lagi masih dalam proses pengenalpastian," kata Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari.
Kejadian tanah runtuh di daerah itu telah berlaku pada awal pagi Sabtu lalu ketika kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur.
Menurut Ketua Kampung Pasirlangu, Nur Awaludin Lubis, sebelum kejadian tersebut berlaku, kawasan berkenaan telah dilanda hujan lebat berserta angin kencang selama dua hari berturut-turut.
"Penduduk setempat melaporkan ketika kejadian berlaku, ia diawali dengan bunyi guruh yang kuat. Tidak lama kemudian, tanah dan lumpur mula meluncur dari Kampung Pasirkuning hingga ke Kampung Pasir Kuda, Desa Pasirlangu," ujar Ketua Polis Cisarua, Ay Yogaswara kepada agensi berita Antara.
Akibat kejadian tersebut, puluhan rumah penduduk dilaporkan tertimbus dengan hakisan tanah dan lumpur sehingga menyebabkan banyak kerosakan, lapor BBC News Indonesia.