Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Taarana Perkasa Pelajar Melalui “The Magic Of Recycling” Sempena Hari Pendidikan Alam Sekitar Sedunia 2026
Pemenang anugerah pusat pendidikan bagi kanak-kanak berkeperluan khas, Taarana, telah menyambut Hari Pendidikan Alam Sekitar Sedunia 2026 melalui pelancaran buku kerja, “The Magic of Recycling” serta aktiviti-aktiviti kelestarian yang dirangka khas untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar dan memupuk nilai kelestarian dalam kalangan pelajar mereka.
Sambutan tahun ini bertujuan menggalakkan pelajar neurodivergen untuk menjadi lebih peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan seterusnya menterjemahkan konsep alam sekitar kepada aktiviti harian.
“Pelajar kami belajar dengan lebih berkesan melalui aktiviti praktikal. Inisiatif seperti ini memberikan mereka peluang untuk merasai sendiri pengalaman kelestarian secara nyata dan bermakna, serta mempunyai kesedaran bahawa setiap tindakan mereka tetap memberikan kesan walau sekecil mana pun,” tegas Pengetua Taarana, Dr. Sunitha Sivakumaran.
Inisiatif-inisiatif ini turut mencerminkan komitmen Taarana terhadap pendidikan yang holistik, dimana kesedaran menjaga alam sekitar diintegrasikan dalam silibus pembelajaran untuk memupuk rasa tanggungjawab, kerja berpasukan, serta impak dunia sebenar.

Sempena sambutan peringkat global ini, Taarana telah melancarkan sebuah buku kerja bertajuk The Magic of Recycling (Keajaiban Kitar Semula), hasil karya salah seorang tenaga pengajar yang berdedikasi di Taarana iaitu Joanne Mathilda John.
Buku kerja interaktif yang tercetus melalui Projek ZeroWaste pada Ogos 2024 ini menggabungkan visual berwarna-warni, elemen penceritaan dan aktiviti-aktiviti praktikal bagi menjadikan konsep alam sekitar yang kompleks kelihatan lebih menarik dan mudah difahami anak-anak neurodivergen.
Inisiatif yang bermula di bilik darjah ini kini berkembang menjadi gerakan komuniti yang menggalakkan amalan lestari dalam kalangan pelajar, keluarga dan komuniti.
Penerbitan buku kerja ini menepati visi Taarana untuk membangunkan bahan pengajaran pendidikan khas yang berkesan, bertujuan membekalkan pelajar neurodivergen dengan kemahiran hidup dan pembinaan jati diri.
Buku ini sekaligus membuktikan kemampuan Taarana dalam merangka silibus pembelajaran yang lebih efektif, serta menunjukkan potensi pelajar neurodivergen untuk terlibat dalam isu-isu global seperti kelestarian melalui pendekatan pembelajaran yang bersesuaian.
Pendekatan ini juga selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia dan Kerangka Pendidikan untuk Semua (EFA) UNESCO yang membantu mewujudkan aliran pembelajaran lebih inklusif dan saksama bagi para pelajar neurodivergen.
“Program seperti ini tidak hanya memperkaya pengalaman pelajar tetapi juga memberikan impak positif kepada masyarakat umum.
“Saya berharap inisiatif seperti ini akan dianjurkan dan diperluas pada masa akan datang,” ucap Encik Nazri Mohamad, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Khas Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, semasa melancarkan program sambutan Hari Pendidikan Alam Sekitar Sedunia di Taarana pada hari ini.

Pada acara kali ini, hasil kerjasama antara Taarana dan pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar, Generasi Peduli Sampah (GPS), menyaksikan pelancaran inisiatif berasaskan kelestarian yang dirangka khas untuk para pelajar Taarana.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pengumpulan sisa elektronik (e-waste), sumbangan buku dan pakaian, penanaman pokok serta pembersihan kawasan Taarana.
Semua aktiviti ini dirangka berpandukan konteks sebenar bagi memastikan setiap pelajar, tanpa mengira tahap keperluan, dapat menyertai aktiviti tersebut secara aktif dan berkesan.
Program ini bertujuan memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab dan penyertaan komuniti melalui penerapan nilai gotong-royong dalam pelaksanaannya.
Pelaksanaan aktiviti secara berstruktur dan berulang juga diharap dapat membentuk tabiat kelestarian dalam kalangan pelajar neurodivergen serta menggalakkan amalan tersebut dipraktikkan secara berterusan dalam kehidupan seharian.
Kolaborasi ini turut berperanan sebagai penghubung antara Taarana dan komuniti setempat, sekali gus menegaskan bahawa kelestarian merupakan satu usaha yang bersifat inklusif, selain memberikan impak positif kepada alam sekitar.
Melalui inisiatif ini, Taarana bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar, malah menyokong perkembangan peribadi pelajar dengan membina keyakinan dan rasa tanggungjawab sosial.
Penglibatan dalam aktiviti berasaskan komuniti turut membantu pelajar melihat peranan mereka sebagai penyumbang aktif kepada masyarakat.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Taarana terhadap pembelajaran holistik yang mengimbangi aspek akademik dengan empati, kreativiti dan kesedaran alam sekitar, di samping mempersiapkan pelajar untuk berkembang sebagai individu yang berdikari dan bertanggungjawab secara sosial.
“Sambutan Hari Pendidikan Alam Sekitar Sedunia ini mencerminkan pendekatan kami yang melangkaui kaedah pembelajaran konvensional dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih inklusif,” kata Dr Sunitha Sivakumaran.
“Kami percaya kelestarian perlu menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran yang inklusif.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa pendekatan praktikal mampu memperkasakan pelajar neurodivergen dan membentuk model pendidikan holistik yang relevan untuk Malaysia,” tegas beliau lagi.
Sambutan tahun ini menekankan kepentingan kolaborasi dan inklusi dalam mempromosikan amalan kelestarian yang lebih mudah diakses oleh golongan neurodivergen.
Kerjasama antara pelajar dan guru, dengan penglibatan berterusan daripada Yayasan RYTHM serta Kumpulan QI, telah mewujudkan ekosistem yang menggalakkan keterangkuman dan matlamat bersama, sekali gus membuktikan bahawa usaha kelestarian lebih berkesan apabila digerakkan secara kolektif oleh seluruh komuniti.