Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Hari ini 10 Julai 2025 merupakan hari yang cukup bermakna untuk seorang tokoh negara, Tun Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-100.
Beliau merupakan Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun bermula 1981 sehingga 2003 dan 1 tahun 10 bulan mulai 2018-2020.
Beliau bukan sahaja tokoh yang disegani, malah sumbanganya terhadap negara khususnya dalam dasar dan pembangunan negara.
Bertepatan dengan hari yang cukup istimewa ini, SK kongsikan latar belakang dan sumbangan Tun Mahathir di bawah.
Nama penuh: Tun Dr Mahathir bin Mohamad
Tarikh lahir: 10 Julai 1925 (tarikh rasmi: 20 Disember 1925)
Tempat lahir: Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah
Pasangan: Tun Dr Siti Hasmah Hj Mohd Ali
Anak: 7 orang
Jawatan: Perdana Menteri Malaysia ke-4 (1981–2003) & ke-7 (2018–2020)
Gelaran: Bapa Pemodenan Malaysia
Tun Mahathir merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik, dilahirkan dalam keluarga sederhana.
Bapanya, Mohamad Iskandar merupakan seorang guru. Beliau membesar di kawasan miskin, namun menunjukkan kecemerlangan sejak awal lagi dalam bidang akademik dan kepimpinan pelajar.
Sekolah Rendah: Sekolah Melayu Seberang Perak (1931–1933)
Sekolah Menengah: Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar
Pengajian Tinggi: Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura (1947–1953)
Beliau lulus sebagai doktor perubatan pada 1953 dan aktif dalam menulis rencana di akhbar dengan nama pena C.H.E Det.
Nota: Semasa pendudukan Jepun (1942–1945), beliau terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga dengan berniaga di Pekan Rabu.
Tun Mahathir pada awalnya berkhidmat sebagai doktor di Hospital Alor Setar selepas tamat pengajian.
Beliau menubuhkan sebuah klinik swasta pertama milik Melayu, Klinik Maha, pada 1957 dan mendirikan rumah tangga bersama jodoh, yang juga rakan sekolej, Tun Dr Siti Hasmah pada tahun 1956.
1946: Menyertai UMNO sejak awal penubuhan
1964: Menang kerusi Parlimen Kota Setar Selatan
1965: Dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO
1969: Kalah dalam pilihanraya, dipecat daripada UMNO kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman
1970: Tulis buku kontroversi The Malay Dilemma
1972: Kembali menyertai UMNO
1974: Menjadi Menteri Pendidikan
1976: Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan & Industri
1978: Dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO
1981: Dilantik Perdana Menteri ke-4 Malaysia dan Presiden UMNO
2003: Letak jawatan Perdana Menteri
2016: Keluar daripada UMNO
2017: Mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dilantik sebagai Pengerusi
2018: Dilantik Perdana Menteri setelah PRU-14
2020: Letak jawatan Perdana Menteri
2020: Dipecat daripada BERSATU
2020: Menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)
2023: Keluar daripada PEJUANG
Tun Dr Mahathir memainkan peranan besar dalam memodenkan Malaysia, di mana beliau berjaya menukarkan ekonomi negara daripada berasaskan pertanian kepada sebuah negara perindustrian.
Antara sumbangan utamanya ialah memperkenalkan PROTON, iaitu kereta nasional pertama yang menjadi simbol kemajuan industri automotif tempatan.
Selain itu, beliau turut melancarkan Wawasan 2020, iaitu satu visi jangka panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dari segi ekonomi, pendidikan, dan kematangan masyarakat.
Dalam aspek reformasi pentadbiran, Tun Mahathir memperkenalkan beberapa perubahan penting bagi meningkatkan kecekapan dan integriti sektor awam.
Antaranya termasuklah pelaksanaan sistem kad perakam waktu (punch card), pemakaian lencana nama oleh penjawat awam, serta kempen Bersih, Cekap dan Amanah bagi menanam budaya kerja yang lebih berintegriti dan efisien dalam perkhidmatan awam.
Pada tahun 2016, beliau kembali aktif dalam arena politik dan mengejutkan negara apabila berjaya memimpin Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada usia 93 tahun, beliau sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, menjadikannya pemimpin tertua di dunia yang pernah memegang jawatan tersebut secara sah melalui pilihanraya.
Antara projek mega yang dilakukan di bawah beliau termasuklah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara Berkembar Petronas (Petronas Twin Tower), Menara KL (KL Tower), Jambatan Pulau Pinang, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON), Perusahaan Otomobil Kedua Negara (Perodua) Litar Formula One Litar Sepang, pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran.
Sehingga ke hari ini, Tun Mahathir digelar sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana berjaya membawa negara sehingga mendapat penghormatan dari negara-negara luar.
Ia termasuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan baru di Asia Tenggara, alternatif kepada pelabur-pelabur asing selepas Singapura.
Sumber: www.perdana.org.my