Teruja Sambut Merdeka, Orang Ramai Berkumpul Di Dataran Merdeka Sejak 4.30 Pagi
Orang ramai dilapor mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 4.30 pagi bagi menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan disini, hari ini.
Menerusi laporan BERNAMA, orang ramai tanpa mengira jantina, umur, mahupun bangsa kelihatan begitu teruja untuk menyertai sambutan berkenaan setelah tertangguh dua tahun akibat pandemik yang melanda dunia sebelum ini.
Orang ramai yang hadir dilihat mengibarkan bendera Malaysia dan ada juga yang turut mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan, sekaligus menjadikan sambutan kali ini lebih bewarna-warni.
Orang ramai telah memenuhi Dataran Merdeka sempena sambutan #HariKebangsaan2022 seawal jam 4.30 pagi.
📹 Hafizah Tan/BERNAMA pic.twitter.com/3wxOoklIcq
— BERNAMA (@bernamadotcom) August 30, 2022
Malah, suasana di LRT Masjid Jameq juga dilaporkan sesak, apabila dipenuhi oleh orang ramai yang mahu menuju ke Dataran Merdeka menggunakan pengangkutan awam.
Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2022 ini juga turut dirasai di beberapa tempat yang lain antaranya di Seremban. Disana, Hari Kebangsaan disambut di Dataran Bandaraya Seremban yang memperlihatkan penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan acara.
Manakala semalam, turut diadakan sambutan Ambang Kemerdekaan di Anjung Floria, Putrajaya. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyertai orang ramai dalam memeriahkan acara tersebut.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2022 buat semua rakyat Malaysia.
Sumber: BERNAMA