Mayat Lelaki Ditemui Dalam Tasik Cyberjaya, Dipercayai Ditetak Sebelum Dibuang
SEPANG — Mayat seorang lelaki dilapor ditemui di dalam tasik di belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya semalam, dipercayai ditetak sebelum dibuang.
Memetik Sinar Harian, menurut pihak polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu selepas dihubungi oleh orang awam, mangsa disyaki merupakan penduduk tempatan.
Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut ditemui terjunam ke dalam tasik itu selepas hasil pemeriksaan dilakukan.
“Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian baju T berwarna hitam dan berseluar jeans serta bertali pinggang.
“Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kesan tetak di bahagian kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Kamarul, mayat mangsa ditemui terapung oleh seorang pemancing sekitar tiga meter dari lokasi kejadian kira-kira pada jam 8 malam.
“Saksi menghampiri objek berkenaan dan mendapati objek tersebut merupakan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian sebelum menghubungi balai polis Cyberjaya untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
BACA JUGA: Ratusan Nyawa Penyokong Terkorban, Ini 7 Tragedi Terburuk Pernah Berlaku Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia
Terdahulu, mayat seorang wanita ditemui di dalam sebuah tasik berhampiran Sky Ride Presint 2 awal tahun lalu, lapor Bernama.
Mayat terbabit juga dalam keadaan sudah reput dan berbau busuk.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika itu berkata pihaknya menerima panggilan orang awam yang menjumpai mayat itu kira-kira 6.55 petang.
Tambahnya, mayat itu ditemukan dalam keadaan terlentang dan lengkap pakaian. Pihak polis mengesyaki mangsa telah berada dalam tasik sekitar dua atau tiga hari.
“Pakaian mangsa ialah blazer berwarna hitam, kemeja-T berwarna biru, skirt mini jean berwarna hitam dan tali pinggang pada skirt berlogo Versace.
“Mangsa turut memakai tiga bentuk cincin dan gelang tangan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian