“Dia Keluar Rumah Sejak Awal Januari,” Noor Nabila Umum Bakal Bercerai Dengan Engku Emran
Noor Nabila, kakak kepada pengacara dan usahawan terkenal Neelofa pada hari ini mengumumkan bakal bercerai dengan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dalam waktu terdekat, lapor Astro Gempak.
Perceraian itu dibuat selepas Emran dikatakan telah menyatakan hasratnya untuk tidak mahu meneruskan lagi perkahwinan mereka.
“Kami dalam proses perceraian dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Emran pun sudah menyatakan keinginan dia untuk bercerai selepas dia keluar dari rumah saya sejak awal Januari lalu.
“Alhamdulillah, ketika dia beritahu hasratnya untuk bercerai, kami berbincang secara baik dan tenang serta menerima segala keputusan yang ditentukan dengan reda dan hati terbuka,” katanya.
Noor Nabila bagaimanapun enggan berkongsi lebih lanjut berkenaan masalah rumah tangga yang dihadapinya kepada umum.
Sebaliknya, dia hanya mahu perkara itu diketahui antara mereka berdua dan dijadikan sebagai pengajaran buat dirinya.
“Saya sudah buat yang terbaik sepanjang proses perkahwinan ini. Namun, sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada ujian dan dugaan rumah tangga.
“Sepatutnya, kita pasangan suami isteri saling berkorban dan sentiasa ada untuk satu sama lain dalam apa jua keadaan. Malangnya kami tak mampu jadi pasangan seperti itu.
“Masalah antara kami sudah lama berpanjangan dan saya berserah dengan takdir dan yakin ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk saya dan anak lalui,” katanya.
Sebelum ini, beberapa media tempatan pernah melaporkan berhubung rumah tangga pasangan itu yang didakwa sudah retak menanti belah.
Menurut sumber rapat pasangan itu, mereka yang bernikah sejak dua tahun lalu sudah tidak tinggal sebumbung.
Untuk makluman, Nabila dan Engku Emran telah berkahwin pada 19 Mac 2021 lalu.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Selain Nabila, Engku Emran juga pernah berkahwin dengan pelakon popular tanah air iaitu Erra Fazira dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Engku Emran juga dilaporkan pernah berkahwin dengan seorang pelakon popular Indonesia iaitu Laudya Cynthia Bella.
Sementara itu, Nabila pula pernah mendirikan rumah tangga pada sebelum ini bersama pelakon Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017.
Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan sebagai Jebat Jayden.
Sumber: Astro Gempak