Siakap Keli
Gambar: AFP

Dibanding Dengan Haaland, Højlund Akui Masih Jauh Ketinggalan

Dibanding Dengan Haaland, Højlund Akui Masih Jauh Ketinggalan

MANCHESTER: Penyerang muda Manchester United, Rasmus Højlund mengakui bahawa dirinya masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan ‘pemusnah berbisa’ Manchester City, Erling Haaland, lapor Manchester Evening News.

Pemain kelahiran Denmark itu memberitahu bahawa dia tidak menyukai perbandingan antaranya dengan penyerang terbaik dunia itu, malah dia menganggap Haaland berada di kelas tersendiri.

“Saya harap suatu hari nanti saya boleh berada di tahapnya, tetapi untuk sekarang, saya rasa terlalu awal. Erling Haaland adalah contoh penyerang terbaik dunia.

“Saya sebenarnya tidak mahu dibandingkan dengannya, tetapi saya berharap suatu hari nanti saya boleh menjadi seperti dia. Siapa tahu? Saya masih berumur 20 tahun. Jadi kita akan lihat nanti,” kata Højlund kepada TV2.

Gambar: AFP

Tambahnya, dia juga mengakui sedang berusaha untuk mencapai tahap seperti pemain kebangsaan Norway itu yang berjaya menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan musim lalu.

“Seperti yang saya katakan Erling Haaland berada dalam kelasnya. Dia mempunyai rekod pencapaian yang sangat cemerlang dalam beberapa tahun.

“Dia perlu dirantai apabila bertemu dengannya. Dia seorang pemain bola sepak gila. Saya juga ingin belajar daripadanya,” katanya.

Gambar: AFP

Perdebatan antara kedua-dua pemain itu semakin hangat apabila mereka mempunyai ciri yang hampir serupa daripada segi ketinggian, warna rambut dan bangsa.

Ditanya mengenai perkembangan di United, pemain berusia 20 tahun itu menjelaskan dirinya tidak gentar dengan tekanan yang diberikan padanya.

BACA JUGA: Tercicir Kunci Kereta, Onana Hangatkan Mulut Peminat United

“Saya tak tahu, Kita perlu lihat sendiri. Setiap hari, saya cuba untuk menjadi lebih baik. Saya suka ada harapan yang diletakkan pada saya. Saya menikmatinya,” katanya lagi.

Pada 29 Oktober nanti, United bakal melayani kunjungan The Citizens di Old Trafford. Musim lalu, Manchester City tewas 2-1 kepada United pada Januari di gelanggang keramat United, Old Trafford.

Sehingga kini, Højlund telah berjaya menjaringkan tiga gol untuk United dalam Liga Juara-Juara (UCL). Sebelum ini, pemain itu menjaringkan 10 gol bersama kelab lamanya Atalanta pada musim lalu.

Untuk rekod pentas antarabangsa, Højlund baru-baru ini mencetak nama dalam ‘Top 5’ penjaring terbanyak Kelayakan EURO 2024 dengan tujuh gol dan satu bantuan gol dalam lapan perlawanan.

Carta penjaring terbanyak Kelayakan EURO 2024 ketika ini didominasi oleh penyerang Belgium, Romelu Lukaku dengan 10 gol; Cristiano Ronaldo (Portugal) dengan 9 gol; Harry Kane (England) 7 gol; Højlund (Denmark) 7 gol; Kylian Mbappe (Perancis), Scott McTominay (Scotland), Zeki Amdouni (Switzerland) dan Erling Haaland (Norway) masing-masing 6 gol; Bruno Fernandes (Portugal) serta Aleksander Mitrovic (Serbia) berkongsi 5 gol.

Sumber: Manchester Evening News

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.