Siakap Keli
jumpa papan liang penggali kubur kongsi kisah
Gambar: Siakap Keli

Proses Pengebumian Lancar, Penggali Kubur Kongsi Kisah Jenazah Terasa Ringan Seperti Kapas

Proses Pengebumian Lancar, Penggali Kubur Kongsi Kisah Jenazah Terasa Ringan Seperti Kapas

Tidak ramai yang mahu memilih kerjaya sebagai penggali kubur berbanding kerjaya yang bergaji lumayan, tempat selesa dan mempunyai kedudukan.

Selain itu, menguruskan ‘rumah terakhir’ untuk jasad manusia di muka bumi bukanlah satu pekerjaan yang digemari terutamanya untuk golongan muda.

Di tapak perkuburan, mereka ibarat orang asing yang terpaksa menguruskan jenazah yang mereka sendiri tidak kenal. Walau bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk menidakkan keikhlasan mereka.

Siapa sangka, lelaki ini pada awalnya hanya ingin merapatkan silaturahim bersama masyarakat setempat, namun kini ia menjadi pekerjaan sepenuh masa.

Dalam segmen ‘Ini Kisah Aku’ kali ini, Siakap Keli telah menemubual seorang penggali kubur di tanah perkuburan Islam.

Bukan wang dikejar, keinsafan dorong lelaki ini memilih untuk menjadi penggali kubur

Awy Ahlan atau dikenali sebagai AWY berusia 33 tahun, yang berasal dari Ampang berkhidmat sebagai penggali kubur di Kajang selama sembilan bulan.

Sebelum menjadi seorang penggali kubur, kerjaya bapa kepada dua orang anak ini bermula sebagai juruaudio secara freelance sehingga sekarang.

Apabila ditanya apa yang mendorong Awy menjadi seorang penggali kubur, dia mengatakan gerak hatinya mahu memohon kerja ini kerana pernah melakukan beberapa kerja amal bersama jiran tetangga dan menyertai kursus pengurusan jenazah.

Pada awalnya, dia melihat status whatsapp yang dimuat naik oleh majikannya tentang jawatan kosong sebagai penggali kubur di tanah perkuburan terbabit.

“Selepas saya menunaikan solat di salah satu masjid di Kajang, saya berjumpa dengan salah seorang imam dan bertanya tentang jawatan kosong itu.

“Imam berkenaan memang memerlukan orang sebab pekerja lama sudah berhenti lima bulan yang lalu,” katanya.

Selepas melalui proses temuduga, Awy diterima dan bersetuju untuk memulakan kerja pada 1 September 2023.

Tetapi perancangan Allah lebih hebat mengatasi perancangan manusia kerana bapa mertuanya meninggal dunia pada 31 Ogos.

Bagi dirinya, itu mungkin rezeki arwah kerana Awy dapat menguruskan jenazah dan menziarahi kubur hampir setiap hari.

“Saya telah menguruskan 30 hingga 50 jenazah selama sembilan bulan berkhidmat sebagai penggali kubur,” ujar Awy.

Pendapatan bulanan sebagai seorang penggali kubur

Jelasnya, pihak masjid membayar gaji dengan menggunakan tabung khairat kematian. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir waris jenazah menghulurkan wang kepada mereka sebagai tanda terima kasih.

Awy turut memberitahu pendapatan bulanan yang diperolehi adalah RM 1,500.

Orang lain beranggapan pendapatan bulanan yang rendah dengan kos sara hidup tinggi adalah mustahil, namun bagi Awy ia cukup menampung perbelanjaan sekeluarga.

Selain itu, Awy tidak pernah mengharapkan balasan atau upah daripada sesiapa kerana dia ikhlas menggunakan kudratnya untuk mengumpul saham akhirat.

Tak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang penggali kubur, malah dia berpendapat ini adalah takdir yang telah ditentukan Allah SWT untuk dirinya dan peringatan agar tidak lalai dengan kehidupan dunia.

“Setiap pagi saya melihat ke arah kubur dan sentiasa mengingatkan diri untuk melakukan persiapan sebelum kematian,” ujarnya ketika ditemubual Siakap Keli.

Dalam kehidupan seharian kita tidak lari dari pelbagai cabaran 

Setiap pekerjaan mempunyai cabaran dan dugaannya tersendiri. Ini termasuklah kerja yang nampak mudah di mata masyarakat, tetapi hanya mereka yang melakukannya faham tentang apa yang dilalui.

Sepanjang Awy menjadi penggali kubur, menanam jenazah bayi merupakan pengalaman yang paling menyentuh hati dalam hidupnya.

“Kita tak tahu macam mana perasaan si ayah apabila meletakkan jenazah bayi ke dalam liang tapi ketika itu kawasan sekeliling berbau harum.

“Istimewa betul anak syurga ni. Mungkin sebelum jenazah masuk ke dalam liang, Allah dah beri bau syurga kepada kami,” katanya.

Selain itu, bapa kepada dua orang anak ini turut mempunyai pengalaman misteri semasa menjalankan tugasnya.

“Waktu itu saya sedang menanam rumput di kubur sana (kubur lama) waktu siang, saya tengah buat kerja sambil berzikir.

“Tiba-tiba saya dengar dekat kubur sebelah seperti bayi sedang menangis dan bunyi memang kuat. Bila saya menghampiri kubur sebelah, memang betul bunyi itu datang dari arah sana.

“Saya pun istighfar berkali-kali dan mengatakan saya datang sini untuk bekerja,” ujar Awy.

Bukan itu sahaja, Awy turut berkongsi pengalaman pernah terlihat seperti ada kelibat semasa sedang memotong rumput di kawasan sekeliling.

penggali kubur kongsi kisah

Pengalaman manis sepanjang menjadi penggali kubur

Sepanjang menjadi penggali kubur, Awy berkongsi proses pengebumian jenazah seorang wanita berusia 89 tahun dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

penggali kubur kongsi kisah

“Ketika itu hujan turun tetapi tidak lebat, namun tanah masih dapat digali menggunakan mesin. Pada paras enam kaki dalam, tiba-tiba punca air mengalir dan kami pun keluar dari liang lahad.

“Selepas kami dapat tahu jenazah nak sampai ke tanah perkuburan, kami pun pergi semula ke liang dan mendapati liang tersebut sudah kering.

“Semasa kami mengangkat jenazah, seolah-olah kami mengangkat kapas kerana terasa ringan,” tambahnya.

Nak tahu dengan lebih lanjut mengenai kisah Awy, anda boleh tonton video di YouTube Siakap Keli di bawah ini.

BACA: Viral “Cover” Lagu Melayu Dalam Bahasa Jepun, Rina-Hime Kini Cipta Nama Dalam Industri Muzik

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.