Ingkar Bayar Tunggakan Gaji, Bekas Pemilik Kelab Bola Sepak Ditahan
Seorang bekas pemilik dua pasukan bola sepak ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan penipuan, hari ini.
Menurut Professional Footballers Association Of Malaysia (PFAM), individu yang bergelar ‘Datuk’ itu ditahan selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah.
Ia berhubung perintah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai dua kelab tersebut pada 2018.
Pemilik kelab bola ditahan, didakwa ingkar perintah bayar tunggakan gaji pemain
Peguam mewakili bekas pemain dan pegawai dua pasukan bola sepak itu, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, penahanan itu dilakukan mengikut perintah komital yang telah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu.
“Bagaimanapun, mahkamah telah memberikan penangguhan selama dua minggu untuk individu tersebut melunaskan tunggakan gaji.
“Namun dia mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000.00 setakat pertengahan 2023 dan baki tunggakan sebanyak RM1.4 juta masih berbaki sehingga kini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh PFAM.
Individu tersebut akan dibawa ke Penjara Kajang dan akan dipenjarakan selama 7 hari berdasarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah.
Perintah tangkapan merupakan kali pertama bagi kes melibatkan tunggakan gaji
Menurut Suhail, pihaknya turut akan memulakan tindakan jenayah jika bekas pemilik tersebut gagal melunaskan baki tunggakan yang dituntut.
Sementara itu, bekas pemain Kuantan FA iaitu Abdul Ghani Abdul Rahman berasa bersyukur kerana akhirnya mendapat pembelaan dengan penangkapan bekas pemilik kelab.
Ujar Abdul Ghani yang tidak menerima bayaran gaji semalam tiga, kehidupan keluarganya terjejas sebelum ini akibat situasi tersebut.
Pada waktu yang sama, En. Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia turut memaklumkan perintah tangkapan yang dikeluarkan mahkamah ini merupakan kali pertama bagi kes yang melibatkan tunggakan gaji kelab bola sepak Malaysia.
“Perjuangan PFA Malaysia selama tujuh tahun membela nasib pemain dua buah kelab bola sepak ini di muka pengadilan dianggap sebagai satu amaran kepada semua pemilik kelab atau persatuan.
“Perkara ini dilakukan supaya peka dengan hak dan kebajikan pemain terutama sekali melibatkan tunggakan gaji,” jelasnya.
BACA: Lebih 100 Orang Dah Jadi Jutawan, Ini Cara Mereka Buat Untuk Menang RM1 Juta BSN SSP
Sumber: Professional Footballers Association Of Malaysia (PFAM)