Bekalan Anak Di Asrama, Ini Resipi Sambal Cornflakes Anti Lemau
Antara banyak-banyak kejadian misteri, terdapat satu misteri yang tidak pernah lagi dapat dirungkai hingga kini. Misteri ini didapati sering terjadi kepada mereka yang tinggal di asrama, tidak kira sama ada peringkat sekolah rendah, menengah, mahupun di peringkat pengajian tinggi.
Misteri rasa lapar yang tidak dapat dibendung.
Walaupun pihak pengurusan di asrama telah menyediakan hidangan makanan mengikut masa, sekurang-kurangnya lima kali sehari, namun rasa lapar tidak pernah hilang. Setakat ini, masih belum ada pihak yang berjaya merungkai misteri lapar di asrama.
Namun, ramai juga yang berjaya mengatasi rasa lapar dengan membawa bermacam bekalan makanan setiap kali datang dari rumah. Di sini min ingin kongsikan dengan anda satu resipi ringkas yang boleh disimpan lama sebagai bekalan di asrama.
Resipi yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok, Wawa Nemo ini amat sesuai untuk para ibu sediakan buat bekalan anak ke asrama. Ikuti cara memasaknya di bawah.
Sambal cornflakes anti lemau
1. Sangai atau bakar kacang tanah.
Semasa proses ini, pastikan anda sentiasa mengacau kacang supaya tidak hangus. Dalam resipi ini, Wawa menggunakan kacang tanah yang sudah siap dikupas kulit.

Anda boleh juga menggunakan kacang tanah yang masih bersalut kulit bahagian dalam. Bagi anda yang pertama kali menyangai kacang tanah, disarankan untuk anda guna kacang tanah begini. Anda lebih mudah untuk mengenal pasti jika ia sudah cukup disangai.
Antara tanda kacang sudah cukup disangai ialah apabila kulit kacang berubah warna menjadi sedikit keperangan dan ada yang mudah tertanggal. Anda boleh tutup api dan tanggalkan kesemua kulit.
Semasa kacang masih panas, bolak-balikkan kacang tanah sehingga semua kulit tertanggal. Jika kacang sudah sejuk dan masih ada kulit yang belum tertanggal, ramas kacang tanah untuk lebih cepat tanggalkan kulit.
Setelah selesai, buang semua kulit yang tertanggal dari kuali dan buka semula api.
BACA: Sedap Buat Hidangan Minum Petang, Ini Resipi Bubur Pulut Hitam
2. Sangai cornflakes.
Tak perlu sangai lama-lama. Bila cornflakes dah agak rangup atau sedikit keras, dah boleh ketepikan. Anda juga boleh bakar cornflakes guna air fryer atau ketuhar. Proses ini penting supaya cornflakes tidak lemau apabila dicampur dengan sambal nanti.
3. Tumbuk dan tumis bawang putih.
Tumbuk beberapa ulas bawang putih, kemudian tumis sehingga naik bau.
4. Tumis cili kisar.
Masukkan cili kisar dan tumis bersama bawang putih hingga pecah minyak.

BACA: Sedap Makan Musim Hujan, Ini Resipi Sup Ayam Bungkus Wajib Cuba
5. Masukkan kiub pati ikan bilis.
Apabila cili kisar sudah pecah minyak, masukkan sedikit kiub pati ikan bilis. Anda boleh juga gantikan dengan penambah rasa makanan kegemaran masing-masing.
6. Tambah madu dan gula.
Jangan kedekut, dan jangan pula terlebih. Tuang madu dan tambah dua sudu besar gula sehingga sambal rasa pedas manis. Kacau hingga gula larut dan buih-buih terhasil.

7. Tutup api dan biar sambal reda seketika.
8. Tambah cornflakes dan kacang tanah.
Apabila sambal sudah tidak berbuih, tambah cornflakes dan kacang tanah ke dalam kuali. Boleh juga tambah ikan bilis yang sudah digoreng garing. Kemudian, kacau hingga sebati.
Dah siap. Jika sambal masih panas, boleh tinggalkan seketika. Apabila sambal sudah suam, masukkan ke dalam bekas. Jangan biar sambal di luar terlalu lama kerana sambal akan mengeras disebabkan gula yang dicampur tadi.
BACA: Rangup Di Luar Berlemak Di Dalam, Ini Resipi Creamy Crab Croquette
Menerusi rungan komen, Wawa turut berkongsi satu petua supaya cornflakes tidak menjadi lembik.
“Bakar atau goreng kering lama sikit tapi jangan sampai hangus. Lepas tu, tunggu sambal tu dah sejuk baru gaul dengan cornflakes.
Jangan tunggu sejuk betul. Kalau suam-suam tu dah boleh dah. Nak lagi rangup, boleh bakar lagi dalam ketuhar lepas salut tu,” kongsinya.
Selamat mencuba.
@kakwaaaaa Resepi terpaling simple ! 😝 klu ada ikan bilis garing pun korang boleh campur ! SELAMAT MENCUBA ✨ #InspirasiRaya #fypmalaysia #tiktokmalaysia #fyp #fypp #fypgakni
Sumber: Wawa Nemo