Anak Beri Hadiah “Smartphone”, Reaksi Ayah Curi Tumpuan Ramai
Pemberian hadiah kepada ibu dan ayah menjadi impian setiap yang bergelar anak. Tanpa mengira penat lelah, wang saku disimpan supaya hajat melihat ibu bapa tersenyum saat menyambut hadiah pemberian tertunai.
Antara pemberian yang menjadi pilihan anak-anak di zaman teknologi ini pastinya telefon pintar. Dengan harga yang berpatutan, telefon pintar kini lebih mudah didapati. Ditambah pula dengan kehadiran skrin yang besar, ciri ini amat sesuai sebagai kegunaan mereka yang sudah berusia.
Seperti seorang pengguna TikTok, Suhaila yang menjadikan telefon pintar sebagai hadiah buat ibunya. Saat kotak telefon pintar disambut, senyuman lebar terpapar di wajah ibu. Rakaman kemudiannya tertumpu kepada bapa wanita tersebut yang memerhati di sebelah dengan wajah sugul.
“Ayah dah rasa anak-anak dia tak sayang dia masa ni. Nak merajuk dah tu,” ujarnya.
Namun, saat adik lelakinya menghulurkan sebuah lagi kotak telefon pintar kepada bapanya, senyuman lebar terukir di wajah. Rupa-rupanya hadiah istimewa itu disediakan buat kedua-dua ibu dan bapa.

BACA: Comel, Gelagat Cucu Ikut Atuk Jalan-Jalan Raih Perhatian
@lelazuki
Usikan adik-beradik ini mendapat perhatian di internet malah turut membuatkan ramai netizen tersentuh dengan usaha mereka. Tidak kurang juga yang berkongsi kisah kegembiraan mereka berpeluang memberikan hadiah buat ibu ayah masing-masing.
“Sederhana tapi harganya tidak ternilai,” puji netizen.
“Orang muka garang ni, kalau senyum, gunung air pun boleh cair,” sakat seorang lagi.
“Pernah telefon sendiri rosak beli Samsung S10. Tiba-tiba mak mengadu telefon dia kembung. Nak beli dekat mak seorang tak tergamak. Terus angkat tiga biji telefon sama. Rabak mat, tapi gembira,” kongsi seorang netizen.
“Seronok kan hadiahkan mak ayah macam-macam? Saya pun selalu buat kalau ada rezeki lebih. Dulu belikan mesin basuh, belikan telefon untuk mak ayah. Rasa puas tu gila-gila lah. Rasa yang tak boleh diucapkan kepuasan tu,” luah seorang lagi.
BACA: Video Warga Emas Memasak Raih Perhatian, Ramai Terimbau Kenangan Dengan Nenek
Sumber: Suhaila