Siakap Keli
disebat berkhalwat
Kredit: Bernama

Buruh Binaan Bakal Disebat Di Khalayak Ramai Akibat Berkhalwat

Buruh Binaan Bakal Disebat Di Khalayak Ramai Akibat Berkhalwat

KUALA TERENGGANU, 20 November (Bernama) — Seorang buruh binaan akan menjadi individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai selepas didapati bersalah melakukan khalwat buat kali ketiga, mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 selepas tertuduh, 42, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Kamalruazmi juga memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman enam bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda.

BACA: Warga Emas Lemas Ketika Memukat Ikan

Mahkamah memerintahkan hukuman sebatan terhadap duda yang mempunyai lima anak itu dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada 6 Dis ini setelah solat Jumaat, selepas tempoh 14 hari jika dia tidak mengemukakan rayuan.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah berada bersama seorang wanita berumur 52 tahun yang bukan isteri atau mahramnya di dalam sebuah rumah di Kerteh, dekat Kemaman kira-kira 1.40 pagi pada 16 Jun lepas.

Hukuman sebat di khalayak ramai dikenakan terhadap lelaki itu kerana ia merupakan kesalahan ketiganya selepas pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas dan Februari tahun ini.

BACA: Kelantan Negeri Terbaru Dijangka Alami Hujan Berterusan Tahap Buruk

Dalam penghakimannya, Kamalruazmi berkata berdasarkan syariat dan agama, matlamat dalam menjatuhkan apa-apa hukuman adalah sebagai pengajaran, pendidikan dan pencegahan supaya kesalahan yang sama tidak berulang selain sebagai peringatan kepada orang awam.

“Seorang mukmin itu tidak jatuh ke dalam lubang sama sebanyak dua kali. Kamu pernah disebat dan dipenjara, tetapi buat lagi. Hukuman kali pertama sepatutnya sudah memberi keinsafan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala lelaki terbabit tidak diwakili peguam.

Pada 19 Februari lepas, Mohd Affendi dijatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah melakukan khalwat buat kali kedua. Dia merupakan individu pertama di Terengganu yang disebat kerana melakukan kesalahan khalwat.

BACA: Bayaran Mungkin Dikenakan Untuk Dapat Lesen Memandu Fizikal Tahun Depan – Anthony

Sumber: Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.