“Aku Nak Mati Ke Ni…”, Lelaki Kongsi Detik Cemas Diserang Sakit Jantung, Hampir Ragut Nyawa
Serangan jantung merupakan penyakit yang tidak mengenal mangsanya. Jika cukup ‘syaratnya’, penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja.
Apa yang menakutkan, serangan jantung boleh berlaku pada bila-bila masa dan ada kalanya, tanpa sebarang petanda.
Menurut portal Hello Doktor, semakin ramai golongan muda yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini berikutan gaya hidup tidak aktif serta pengambilan makanan tinggi gula dan lemak.
Manakala dalam artikel di laman sesawang kesihatan Harvard pula, kira-kira 10 peratus insiden penyakit jantung berlaku pada golongan yang berusia di bawah 45 tahun.
Keadaan ini membuktikan bahawa golongan muda tidak boleh mengabaikan simptom awal yang dialami berkemungkinan disebabkan oleh sakit jantung.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook, Azli Ghani beliau berkongsi detik-detik cemas apabila mengalami serangan jantung (major heart attack) secara tiba-tiba.
Malah, insiden berkenaan dikatakan hampir meragut nyawanya. Jom ikuti perkongsian beliau di bawah.
Detik cemas lelaki kena serangan sakit jantung major, hampir ragut nyawa
Scroll galeri, keluar gambar 4 bulan lepas.
Masa ini kritikal. Doktor kata aku ada masa 90 minit sahaja dan harapan aku masa ini bukan lagi 50/50 harapan untuk selamat.
Bermula dari aku naik Grab dari Sungai Besi (kedai cat) sebab hantar kereta touch up dekat kedai kawan aku. Dia yang orderkan Grab dari kedai dia untuk aku balik ke rumah aku.
Dalam perjalanan dalam Grab, tiba-tiba aku sesak nafas, berpeluh sampai basah baju serta belakang badan aku rasa sakit nyeri mengenyam yang sangat tidak selesa (dada aku tak sakit)
Aku tertanya-tanya aku sakit apa ni? Nak mati ke? Dalam benak aku tapi aku tenangkan diri agar tidak panik (takut lebih kritikal).
Lebih kurang 1/2jam juga aku survive dalam kereta (sebab atas highway) dan pemandu Grab pun sangat cemas tengok aku.
Masa ini ALLAH S.W.T sahaja yang tahu keadaan aku dan apa yang aku buat betul adalah buka cermin kereta then buka mulut luas-luas untuk bantuan pernafasan masa kereta bergerak laju.
Then sampailah aku dekat kawasan rumah aku dan dia hantar aku ke klinik berdekatan. Doktor terus tanya aku kenapa. Aku bilang tak tahu.
Selepas doktor buat ACG keatas dada aku terus beliau menggelabah sebab aku dengar dia cakap “ini major heart attack” dengan nada agak keras dan di suruhnya pembantu beliau ambil ubat spray cair darah bawah lidah.
Terasa lega sakit aku.
Selang beberapa minit ambulan sampai ambil aku dan hantar ke Hospital Sungai Buloh. Sampai aku disana, aku disambut dan setelah diperiksa oleh doktor di hospital, doktor terus cakap yang mereka tak boleh buat kes ini sebab terlalu kritikal.
Aku lagi sekali naik ambulans dengan ditemani doktor untuk ke IJN pula (oh ya aku di Hospital Sungai Buloh dalam 10 minit sahaja ) dan terus di hantarkan ke IJN pula.
Dalam ambulan doktor kejap-kejap tanya nama aku etc sebab tak nak bagi aku tertidur (sebab kalau tertidur nanti aku tidur terus)
Setiba aku di IJN, aku disambut oleh doktor disana pula. Dan sinilah yang aku tahu keadaan aku sebenarnya.
Doktor di IJN cakap dengan isteri aku, dimana dia minta suruh bertenang, bersabar dengan apa jua yang bakal terjadi dengan aku sebab keadaan aku hanya ada harapan 30-40% sahaja.
Kerana jantung aku ada 3 sumbat pertama 1 saluran 100% sumbat, kedua 1 saluran 80% sumbat dan ketiga 70% sumbat)
Aku terus dibawa masuk ke bilik pembedahan untuk buat ANGIOGRAM PROSEDURE untuk pengetahuan korang buat prosedure angiogram ini dalam keadaan pesakit sedar ya.
Aku nampak semua orang dalam bilik tu masa prosedur dijalankan.
Dalam pertengahan prosedur, tiba-tiba tekanan darah aku jatuh dan aku dengar doctor menjerit “blood pressure jatuh… BP jatuh”.
Memang aku rasa sesak nafas yang teramat sangat (nurse-nurse datang tanya nama aku etc agar aku sedar) dan selang beberapa ketika doktor dengan suara agak keras suruh aku BATUK.
Selang beberapa waktu doktor cakap “dah boleh berhenti batuk Encik Azli”
“ALHAMDULILLAH” dia bilang…. (aku dengar rasa lega walaupun nafas aku masih ada sesak lagi).
Selesai sahaja prosedur yang berjaya terus doktor alihkan skrin untuk tontonkan kepada aku keadaan jantung aku sebelum dan selepas prosedur.
Sebelum itu darah memang dah berhenti yang saluran 100% sumbat tu, sekarang dah lancar sebab masuk stent. Lagi 2 sumbat nanti buat doktor cakap (tak boleh buat sekali jalan sebab bahaya takut aku jalan sekali masa prosedur).
Masa ini aku tanya doktor, “doktor tadi sejujurnya saya nyaris mati ya?
Doktor dengan muka sedih cakap “ya”. Kebanyakkan patient dia jika macam tadi situasi memang ramai yang meninggal dunia.
Aku ni kira luck la ALLAH S.W.T nak panjangkan umur lagi sebab doktor ada bagitahu yang jantung aku ni saluran darahnya special sebab besar-besar (ini antara punca aku boleh survive doktor bilang).
Selepas tu aku ke CCU 4 hari dan selebihnya ke wad biasa (total 12 hari warded).
Pada hari kesebelas aku masuk lagi sekali bilik pembedahan untuk buat prosedur masukkan lagi 1 stent (non permanent new technology stent dimana selepas 6 bulan akan mencair dan hilang) serta buat 1 balloon stent.
ALHAMDULLILAH berjaya.
Then hari ke-12 aku sudah dibenarkan keluar. ALHAMDULLILAH YA ALLAH.
Nasihat aku kepada kawan-kawan kesayangan aku semua, setahun sekali pergilah buat full medical checkup sebab lebih baik mencegah dari mengubati.
Semoga perkongsian yang dibuat oleh Azli Ghani menjadi iktibar kepada semua.