Wanita Dedah ‘Terpaksa’ Tanggung Bil Elektrik Cecah RM1 Juta
Seorang wanita berkongsi ‘nasib malang’ apabila terpaksa menanggung bil elektrik yang melambung tinggi sehingga mencecah RM1 juta bagi tempoh kurang daripada dua bulan.
Difahamkan, insiden tersebut melibatkan sebuah premis miliknya yang disewakan kepada seorang penyewa.
Susulan itu, wanita tersebut mendedahkan telah menerima surat tuntutan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ipoh berhubung isu terbabit.
Surat yang diterima adalah “surat tuntutan bagi amaun kerugian hasil dan perbelanjaan serta caj berkaitan akibat mengganggu, mengubahpinda atau merosakkan pepasangan meter TNB”.
Menurut dokumen tersebut, pemeriksaan telah dilakukan oleh TNB pada 29 Ogos 2024 di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat elemen mengganggu atau mengubahpinda atau merosakkan pepasangan meter yang menyebabkan meter tersebut gagal merekodkan bacaan penggunaan arus elektrik yang sebenar selaras dengan bekalan yang diberikan.
“Lanjutan daripada itu, pihak TNB telah mengalami kerugian hasil dan perbelanjaan serta caj berkaitan sebanyak RM1,142,511.75 bagi akaun di atas berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 38(3), (4) dan/atau (5) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan/atau Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.
“Selaras peruntukan undang-undang juga, Service Tax sebanyak 6 peratus dan 8 peratus berjumlah RM0.00 adalah turut dikenakan ke atas amaun kerugian hasil tersebut. Jumlah tuntutan keseluruhan adalah sebanyak RM1,142,511.75,” tegas TNB.

Nasib malang kerana ‘ditipu’
Dalam satu perkembangan, wanita itu mendedahkan bahawa premis berkenaan disewakan kepada penyewa untuk digunakan sebagai ruang penyimpanan.
Ujarnya, hal tersebut jelas termaktub dalam kontrak sewaan.
Bagaimanapun, penyewa berkenaan didapati menyalahgunakan premis berkenaan dipercayai untuk melakukan aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.
Kes ini mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan pelbagai pihak menyatakan rasa simpati terhadap nasib wanita tersebut.
Di sisi lain, ada juga yang menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang terlibat dalam kegiatan haram ini.
BACA: Ketahui Tentang Bird Strike, Salah Satu Punca Pesawat Terhempas
BACA: Kajian Dedah Peratus Tempat Duduk Paling Selamat Dalam Pesawat
BACA: Ini 5 “Kod Kecemasan” Yang Digunakan Dalam Pesawat
Sumber: Queenie Jie Jie via Facebook