Cara Tebus Tiket Percuma Zoo Negara Sempena Hari Lahir
Kelahiran setiap manusia ke dunia ini jatuh pada tarikh tertentu yang pasti akan disambut setiap tahun.
Sama ada disambut secara kecil-kecilan atau besar-besaran, tarikh tersebut menyimpan makna yang mendalam di sudut hati kita.
Ramai yang sedia maklum, tahun-tahun sebelum ini pihak Zoo Negara ada memberikan tiket percuma khas untuk ditebus oleh mereka yang menyambut ulang tahun kelahiran.
Ramai yang tertanya jika tawaran ini masih dibuka oleh pihak Zoo Negara pada tahun ini.
Berita baik buat anda, pada tahun 2025, tebusan tiket percuma sempena hari lahir di Zoo Negara terus dijalankan seperti biasa.
Zoo Negara menerusi Instagram beberapa hari lalu turut berkongsikan cara untuk menebus tiket istimewa tersebut.
“Selamat petang semua. Ramai yang tanya promo tiket hari lahir masih ada ke untuk tahun 2025, dan masih ramai juga yang tak tahu syarat kelayakan dan cara tebus.
“Semoga ini membantu. Jangan lepaskan peluang untuk dapat masuk percuma dan jom ramai-ramai ke Zoo Negara,” katanya.
Baca artikel lebih lanjut untuk syarat kelayakan serta cara-cara menebus tiket di bawah.
Tebus Tiket Percuma

Syarat Kelayakan
- Tiket percuma hanya boleh ditebus oleh warganegara Malaysia seawal umur 3 tahun dan keatas.
- Tiket hanya boleh ditebus dalam tempoh 30 HARI bermula dari tarikh hari lahir sahaja dan anda tidak boleh menebus tiket sebelum tarikh hari lahir.
- Boleh ditebus secara walk-in sahaja.
Bagaimana anda boleh tebus tiket ini?
Sebaik sahaja anda tiba di Zoo Negara, pergi ke kaunter dan imbas kod QR yang berada di hadapan kaunter.
Kod QR tersebut akan menyambung anda ke Google Form yang wajib diisi.
Selasai isi Google Form, pergi semula ke kaunter tiket supaya pihak Zoo Negara boleh membuat pengesahan melalui Kad Pengenalan (IC) (MyKad/MyKid) yang asli sahaja.
Selesai semua prosedur, anda akan diberikan tiket masuk percuma!
Mudah, kan?
Ambil maklum juga tiket percuma hanya diberikan kepada tuan empunya badan yang hari lahirnya jatuh dalam tempoh 30 hari tebusan. Sekiranya anda hadir bersama ahli keluarga lain yang berbeza tarikh hari lahir, mereka perlu membeli tiket seperti biasa.
Tiket percuma yang boleh ditebus tidak mempunyai had pengeluaran. Jadi anda tak perlu risau kalau-kalau tak dapat tebus.
Jika anda ingin tebus pada hari cuti minggu atau cuti umum, tak perlu risau kerana pemberian tiket percuma ini tetap dijalankan seperti biasa.
Sumber: Instagram Zoo Negara