Ini Sebab Kenapa Hanya Negeri Melaka Yang Cuti Pada 20 Februari
Seperti yang diketahui, negeri Melaka terkenal sebagai negeri yang kaya dengan sejarah silam negara.
Setiap kali berkunjung ke Bandaraya Bersejarah ini, tentunya anda dapat melihat beberapa monumen dan bangunan tinggalan perang yang masih berdiri megah hingga ke hari ini.
Kebanyakannya merupakan lokasi tarikan pelancong di kawasan tersebut.
Pada 20 Februari ini, seluruh rakyat di negeri Melaka akan bercuti bersempena memperingati Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Tentu ramai yang tertanya-tanya bukan, bukankah sepatutnya Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos?
Kenapa hanya negeri Melaka yang hanya diberikan cuti pada 20 Februari dan bukannya semua negeri? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian SK di bawah.
Sejarah Negeri Melaka
Pengisytiharan cuti umum Melaka ini sebenarnya berkait rapat dengan sejarah negeri Melaka, iaitu sejak pembukaan negeri itu oleh putera dari Sumatra, Parameswara pada tahun 1400 sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Seperti yang diketahui, kota Melaka suatu ketika dahulu menjadi lokasi strategik dan pusat perdagangan dunia ketika zaman kesultanan Melayu Melaka.
Walau bagaimanapun, selepas lebih 100 tahun Melaka dibangunkan, negeri itu mula dijajah oleh beberapa kuasa besar seperti Portugis, Belanda, British, Jepun dan diambil alih semula oleh British.
Selepas lebih 400 tahun negara diperhambakan oleh penjajah, timbul kesedaran dalam kalangan pemimpin-pemimpin dan rakyat dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan akhirnya tercapai apabila negara Malaysia (Tanah Melayu ketika itu) mengumumkan pada tarikh 31 Ogos 1957.
Rupanya Ini Sebab Kenapa Hanya Melaka Cuti Pada Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
Umumnya, cuti peristiwa ini adalah bersempena dengan sejarah awal Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 20 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka, selepas pulang daripada menandatangani perjanjian kemerdekaan pada 8 Februari 1956 di London.
Kepulangan Tunku Abdul Rahman disambut meriah dengan iringan puluhan motosikal dan kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam ke Padang Bandar Hilir.

Oleh itu, pengisytiharan 20 Februari sebagai cuti umum di Melaka adalah langkah signifikan dalam menghargai sejarah dan warisan negeri, serta memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Dalam bahasa mudah, pada 20 Februari, negeri Melaka diberikan cuti bersempena memperingati Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, yang merupakan tarikh penting dalam sejarah negara.
Sebelum ini, negeri Melaka bercuti pada setiap 14 April bersempena cuti Hari Melaka Bandaraya Bersejarah namun telah digantikan dengan cuti ini.
Sumber: eCentral, PMO, Astro AWANI via Bernama