Gene Hackman Dan Isteri Ditemui Meninggal Dunia
Amerika Syarikat – Pelakon yang menerima dua anugerah Oscar, Gene Hackman, 95, dan isteri, Betsy Arakawa, 63, ditemui tidak bernyawa di kediaman mereka di Santa Fe, New Mexico, lapor AFP.
Sherif Daerah Santa Fe, Adan Mendoza mengesahkan mayat kedua-dua pasangan itu ditemui pada petang Rabu. Menurutnya lagi, kematian ini tidak melibatkan sebarang kegiatan jenayah.
Setakat ini, punca kematian tidak didedahkan.
Menurut laporan media, kedua pasangan tersebut ditemui tidak bernyawa bersama anjing peliharaan mereka. Untuk pengetahuan, isteri mendiang yang dikahwininya pada 1991 merupakan seorang pemain piano klasik.
Pernah mendapat kritikan di awal kerjayanya, mendiang mengejutkan dunia dengan memenangi dua anugerah Oscar. Mendiang terkenal menerusi lakonannya sebagai watak Jimmy “Popeye” Doyle, seorang polis New York yang kasar. Lakonannya dalam filem thriller “The French Connection” itu yang memberinya peluang meraih anugerah pelakon terbaik di Oscar.
20 tahun kemudian, mendiang sekali lagi menerima trofi keemasan sebagai pelakon tambahan terbaik Oscar menerusi lakonannya dalam filem “Unforgiven”.
Memegang watak “Little Bill” Daggett, mendiang membawa perwatakan sherif yang kejam di sebuah bandar kecil.
Kerjaya mendiang tidak terhenti di situ. Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan selama lima dekad, mendiang mendapat tiga pencalonan Oscar menerusi filem-filem tahun 80-an.
Pengarah filem “Mississippi Burning”, Alan Parker menyifatkan mendiang seorang yang tidak tahu menghasilkan lakonan tidak berkualiti.
“Setiap pengarah mempunyai senarai pendek nama-nama pelakon yang mereka ingin bekerjasama. Saya jamin nama Gene ada dalam setiap senarai itu,” katanya dalam majalah Film Comment.
Dilahirkan ketika zaman Kemelesetan Besar di Illinois, mendiang merupakan anak jati Midwest. Mendiang membesar tanpa bapanya sejak berusia 13 tahun, dan kehilangan ibunya dalam satu kebakaran sebelum mendiang masuk ke dunia lakonan.
Seawal usia 16 tahun, mendiang berjaya menyertai Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat dengan tidak memberitahu umurnya yang sebenar pada ketika itu.
Dengan menjadikan kisah hidupnya yang penuh pergolakan ini sebagai panduan, mendiang dapat menjiwai watak-watak yang dilakonkan dengan berkesan.
“Keluarga yang berpecah-belah telah menghasilkan beberapa pelakon yang baik,” maklum mendiang kepada The Guardian pada 2002.
BACA: Pelakon Popular, Michelle Trachtenberg Meninggal Dunia
Sumber: AFP