Siakap Keli
larang bank kuasa
Kredit: AFP

Singapore Airlines Larang Guna, Cas “Power Bank” Dalam Penerbangan

Singapore Airlines Larang Guna, Cas “Power Bank” Dalam Penerbangan

Singapura – Singapore Airlines (SIA) mengeluarkan notis larangan menggunakan bank kuasa mudah alih (power bank) sepanjang penerbangan, berkuat kuasa 1 April 2025.

Kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook syarikat berkenaan memperincikan larangan penggunaan peranti itu termasuk menggunakan bank kuasa untuk mengecas peranti peribadi atau mengecas bank kuasa mudah alih menggunakan port USB.

“Kumpulan SIA mematuhi Peraturan Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkaitan bank kuasa mudah alih yang diklasifikasi sebagai bateri litium,” maklum syarikat berkenaan.

Susulan itu, bank kuasa perlu dibawa menggunakan bagasi kabin bagi semua penerbangan SIA. Syarikat berkenaan menegaskan bank kuasa tidak dibenarkan dibawa dalam bagasi yang didaftar masuk.

SIA turut mengingatkan pelanggan agar mendapatkan kelulusan syarikat penerbangan tersebut bagi bank kuasa berkapasiti antara 100Wh hingga 160Wh. Manakala bank kuasa berkapasiti rendah daripada 100Wh tidak memerlukan sebarang kelulusan.

“Pertimbangan pelanggan tentang keutamaan kami dalam keselamatan amat dihargai,” ujar syarikat tersebut.

Sementara itu, Thai Airways turut mengeluarkan larangan yang sama. Ia disebabkan potensi berlaku kebakaran yang berpunca daripada bateri litium, lapor Bangkok Post.

Bermula 15 Mac, penggunaan bank kuasa dalam semua pesawat Thai adalah dilarang, tegas syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.

“Demi keselamatan perjalanan penumpang, kami ingin memaklumkan bahawa kesemua penumpang dilarang menggunakan atau mengecas bank kuasa (bateri mudah alih) sepanjang penerbangan,” tegas syarikat itu menerusi kenyataan yang sama.

Walau bagaimanapun, kenyataan itu tidak menghalang pengguna daripada membawa bank kuasa menggunakan bagasi tangan.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Korea Selatan, Air Busan turut melarang penumpang menyimpan bank kuasa di ruang penyimpanan atas kepala. Larangan ini susulan kejadian kebakaran di dalam pesawat Airbus A321 yang sedang bersedia untuk berlepas ke Hong Kong. Kejadian pada 28 Januari itu disyaki disebabkan oleh peranti seumpamanya.

Larangan tersebut bagi membolehkan sebarang peranti yang terlampau panas, asap atau api dapat dikesan serta dikawal lebih awal.

BACA: Berkejaran Balik, Gelagat Anak-Anak Ketika Bapa Pulang Cuit Hati Ramai

BACA: Hantar Anak Sekolah, Lelaki Tunjuk Suasana Unik Waktu Pagi Cameron Highlands

Sumber: Singapore Airlines, Bangkok Post

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.