Ahmad Fauwaz Fadzil Dilantik Mufti Wilayah Persekutuan Baharu
Pengerusi Markaz Al Qarahdaghi, Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu. Berita berkenaan dikongsi menerusi laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebentar tadi.
“Ketua Pengarah dan seluruh warga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Fadzil atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025.
“Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar ini demi kemaslahatan ummah dan negara,” kata JAKIM.
Mempunyai kepakaran dalam bidang Usul Fiqh, Kaedah Fiqhiyyah dan Fiqh Perubatan, Fauwaz turut mempunyai Sijil Kemahiran Fatwa dari Darul Ifta Mesir.
Tahun lalu, beliau juga dilantik bagi mengetuai jawatankuasa khas dalam menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd. Perkara tersebut dilaporkan menerusi Astro Awani.
BACA: Mufti Wilayah Persekutuan Jelaskan Hukum Suntikan “Vampire” Untuk Tujuan Kecantikan
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar, sukatan pelajaran pemulihan tersebut menumpukan kepada kaedah dan cara yang sesuai dalam memulihkan fahaman aidah mangsa dan pengikut.
“JAKIM memang ada modul pemulihan akidah termasuk untuk pengikut-pengikut Al-Arqram, cuma sukatan pelajaran dan modul untuk golongan dewasa.
“Kita belum ada lagi sukatan pelajaran modul khusus untuk anak anak. Jadi saya telah amanahkan Ustaz Fauwaz dan lima anggota yang juga pakar akidah untuk membangunkan sukatan pelajaran berkenaan supaya kita dapat memulihkan akidah pengikut dewasa serta anak-anak,” katanya.
Menyingkap susur kerjayanya, Fauwaz tidak hanya aktif berdakwah dari meja penulis bagi majalah Al-Ustaz, Solusi dan Gen-Q. Beliau turut dikenali ramai ketika bersiaran di corong radio dan skrin TV malah pernah bertugas sebagai panel pakar akidah di Jabatan Agama Perak.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Astro Awani
BACA: Malaysia Nombor 1 Destinasi Pelancongan Perubatan Terbaik Dunia
BACA: Sebak Dijemput Tetamu Allah Setelah 36 Tahun Peluk Islam