Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2025 – The Ocean Cleanup bersama rakan-rakan strategik – Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), J&K Wonderland Foundation, dan Coca-Cola Malaysia, secara rasmi melancarkan sebuah kemudahan pengasingan sisa baharu di Sungai Klang. Ini melambangkan satu pencapaian penting untuk menghalang sisa marin daripada berakhir di tapak pelupusan, serta membudayakan penyelesaian ekonomi pekeliling.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK), YBhg. Dato’ Haji Abd. Hamid Hussain, dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan projek ini dalam memperkukuh pengurusan sisa tempatan serta usaha kemampanan alam sekitar.
Kemudahan ini akan mengasing dan memproses sisa yang dikumpul menerusi teknologi The Ocean Cleanup, termasuk Interceptor 002 yang berkuasa tenaga solar serta sistem penghadang ‘log boom’. Sistem ini direka bagi menyekat sampah di sungai sebelum ia sempat mengalir ke lautan.

Dengan sokongan kewangan daripada Coca-Cola Malaysia dan J&K Wonderland Foundation, serta kepakaran pelaksanaan LLSB, kemudahan ini bertujuan memaksimumkan hasil kitar semula serta mewujudkan peluang pekerjaan tempatan. Pasukan kakitangan sepenuh masa akan ditugaskan di lokasi bagi mengasingkan sisa secara manual – memisahkan bahan boleh kitar semula seperti plastik dan aluminium daripada sisa organik dan tidak boleh dikitar semula. Proses pengasingan ini diharap dapat menyumbang kepada amalan pengurusan sisa yang lebih mampan dan cekap.
Kerjasama awam-swasta ini menghimpunkan barisan agensi kerajaan tempatan, pemimpin sektor swasta, dan pertubuhan bukan untung The Ocean Cleanup, dan merupakan bahagian penting dalam keseluruhan program pembersihan Sungai Klang.

Ketika berucap di majlis perasmian, Pengarah Unit Sungai The Ocean Cleanup, Marco Piët berkata: “Dengan kerjasama rakan-rakan kongsi kami, kemudahan pengasingan sisa baharu ini akan membantu menambah baik pengurusan sisa yang dihalang daripada memasuki lautan, selaras dengan misi berterusan kami untuk menghapuskan 90% pencemaran plastik terapung di lautan.”
Beliau turut berkongsi rancangan untuk menambah jumlah Interceptor di Kuala Lumpur, serta memperkenalkan inisiatif ‘30 Cities Program’ – satu inisiatif oleh The Ocean Cleanup untuk memperluas penggunaan Interceptor yang terbukti berkesan di 30 bandar utama di Asia dan benua Amerika. Sasarannya adalah untuk menghapuskan sehingga satu pertiga daripada jumlah plastik yang mengalir dari sungai-sungai di seluruh dunia ke lautan menjelang 2030.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin pula berkata:
“Kesihatan Sungai Klang adalah tanggungjawab bersama – penting bagi komuniti setempat dan alam sekitar. Kemudahan ini membuktikan apa yang boleh dicapai apabila pelbagai pihak berkepentingan bersatu atas matlamat yang sama. Landasan Lumayan Sdn Bhd kekal komited dalam usaha memulihara sungai ini, dan inisiatif bersama ini adalah pemacu penting bagi keseluruhan strategi pengurusan sisa kami.”
Pengarah Kanan, Operasi Francais, The Coca-Cola Company (Singapura, Malaysia & Brunei), Amanda Lin, berkata: “Usaha di Sungai Klang ini merupakan sebahagian daripada kerjasama lebih luas kami dengan The Ocean Cleanup di Asia Tenggara bagi menghalang sisa plastik daripada mengalir ke lautan. Kami juga menyokong pelaksanaan di Thailand, Vietnam dan Indonesia – dengan pasukan kami di lapangan bagi membantu The Ocean Cleanup mengembangkan penyelesaian mereka.”
Setakat ini, kedua-dua Interceptor milik The Ocean Cleanup telah berjaya menyingkirkan hampir 3,000 tan sisa dari Sungai Klang yang mengalir melalui kawasan perindustrian Kuala Lumpur. Kemudahan baharu ini memperkukuh lagi impak keseluruhan program pembersihan berkenaan, bagi mengurangkan pencemaran plastik serta mengembalikan keseimbangan ekologi salah satu sungai terpenting di Malaysia.