Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Jalur Gemilang Milik Kita: Simbol Jiwa, Maruah Dan Cinta Negara
Tanggal 31 Ogos dan 16 September bukan sekadar cuti umum, namun ia merupakan detik bersejarah yang menyatukan rakyat Malaysia.
Hari Kebangsaan di mana hari seluruh rakyat memperingati kemerdekaan Tanah Melayu, manakala Hari Malaysia menandakan terbentuknya negara tercinta, Malaysia yang menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah satu panji, Jalur Gemilang.
Sejak 2015, tarikh 31 Ogos diraikan sebagai Hari Kebangsaan, satu langkah simbolik menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira wilayah, kaum atau agama di bawah lambang kebanggaan negara.
Jalur Gemilang bukan selembar kain biasa. Ia melambangkan kedaulatan, perpaduan, maruah dan identiti lebih 32 juta rakyat Malaysia. Setiap helai yang berkibar adalah bukti bahawa negara ini berdiri teguh hasil pengorbanan dan perjuangan nenek moyang kita.
Kibaran Jalur Gemilang bukanlah bukanlah ritual kosong, sebaliknya manifestasi cinta, kesetiaan dan rasa syukur kepada tanah air.
Tahun ini, Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62
Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang akan berlangsung pada 27 Julai 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ia akan menjadi pembuka tirai kepada pelbagai program lain termasuk Perarakan Hari Kebangsaan di Putrajaya (31 Ogos) dan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang (16 September).
Antara kempen utama ialah ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ dan ‘Kembara Merdeka Jalur Gemilang’ yang membawa mesej cinta negara ke seluruh pelusuk tanah air.
Namun dalam semangat merayakan kebangsaan, etika menghormati Jalur Gemilang harus dijunjung. Bendera yang lusuh, koyak, atau dipasang terbalik mencerminkan kealpaan, bukan semangat patriotik. Malah, ia boleh dianggap sebagai penghinaan dan dikenakan tindakan undang-undang
Dalam masa yang sama, pereka grafik dan penggiat media sosial juga memegang peranan penting dalam dunia digital.
Rekaan visual yang melibatkan Jalur Gemilang perlu tepat dan menghormati elemen bendera seperti warna, bentuk dan susun atur. Salah rekaan bukan hanya mencetus kontroversi, malah mencalar imej negara.
Kesilapan seperti penggunaan Jalur Gemilang sebagai baju, tanjak, atau tudung juga harus dielakkan. Walaupun niatnya baik, tindakan itu bertentangan dengan etika dan merendahkan maruah simbol negara.
Oleh itu, setiap lapisan masyarakat, dari muda hingga yang tua bertanggungjawab dalam menjaga kebesaran Jalur Gemilang.
Jika terlihat bendera yang tidak sempurna atau dipasang salah, tegurlah dengan berhemah. Jika terlihat rekaan grafik yang salah, laporkan, kerana bendera ini milik kita semua.
Jalur Gemilang bukan hanya sekadar simbol, ia adalah jiwa Malaysia. Hormatilah, lindungilah dan kibarkanlah dengan penuh bangga.
Wariskan semangat ini kepada generasi akan datang agar cinta kepada tanah air terus mekar dalam hati setiap anak Malaysia.
Untuk memahami panduan rasmi etika Jalur Gemilang boleh merujuk buku panduan Menghormati Lambang-Lambang Kebesaran Negara yang disediakan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) dan diakses secara percuma di sini dbook.penerangan.gov.my.