Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Ketahui Sebab Kereta Enjin Nuklear Belum Wujud
Bayangkan sebuah kereta yang tidak perlu diisi minyak langsung selama bertahun-tahun, kerana enjinnya dikuasakan oleh tenaga nuklear. Kedengaran futuristik dan menakjubkan, bukan?
Tetapi hakikatnya, sehingga hari ini, kita masih belum melihat kereta komersial dikuasakan oleh reaktor nuklear mini. Persoalannya, kenapa?
Tenaga nuklear sememangnya amat berkuasa. Sebuah reaktor nuklear biasa mampu menjana kira-kira satu gigawatt elektrik, cukup untuk membekalkan tenaga kepada sebuah bandar sederhana.
Malah sejak tahun 1950-an, reaktor kecil telah digunakan untuk kapal selam dan kapal perang besar seperti pengangkut pesawat.
Kini, terdapat usaha untuk menggunakan reaktor serupa pada kapal kargo besar, dan para penyelidik juga sedang membangunkan versi lebih kecil dikenali sebagai microreactor atau small modular reactor.
Namun begitu, meletakkan reaktor nuklear terus ke dalam kereta adalah sangat tidak praktikal.
Menurut Pengarah Pusat Sistem Tenaga Nuklear Termaju di MIT, Jacopo Buongiorno, walaupun reaktor dapat dikecilkan, ia masih terlalu berat untuk kegunaan dalam kenderaan ringan seperti kereta.
Ini kerana reaktor nuklear memerlukan perlindungan khas (shielding) untuk menyekat radiasi.
Bahan perlindungan ini, yang biasanya diperbuat daripada plumbum atau konkrit, sangat berat.
Jadi walaupun reaktor itu sendiri hanya beberapa ratus kilogram, apabila digabungkan dengan perlindungan radiasi, beratnya boleh mencecah beberapa tan.
Untuk kereta biasa yang berat keseluruhannya sekitar dua ke tiga tan, penambahan reaktor nuklear akan menjadikannya terlalu berat, tidak cekap dan berbahaya jika berlaku kemalangan.
Menurut MIT Climate Portal, jawapannya, masih boleh tetapi secara tidak langsung. Berikut adalah tiga cara tenaga nuklear boleh digunakan untuk menggerakkan kenderaan masa depan:
Cara paling mudah dan praktikal adalah dengan menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan elektrik, yang kemudian digunakan untuk mengecas kenderaan elektrik.
Tenaga elektrik perlu datang dari suatu sumber, dan jika ia dijana daripada tenaga nuklear, kita dapat mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang mencemarkan.
Malah, small modular reactors yang bersaiz kecil berpotensi untuk dipasang berhampiran stesen pengecasan EV, termasuk untuk lori dan bas elektrik.
Ini memberi peluang kepada sistem pengangkutan sifar karbon yang lebih meluas dan mampan.
Tenaga nuklear juga boleh digunakan untuk menjana hidrogen melalui proses elektrolisis, memecahkan air (H₂O) menjadi hidrogen dan oksigen.
Hidrogen ini kemudiannya boleh digunakan dalam kenderaan sel bahan api (fuel cell), yang menukarkan hidrogen kembali menjadi elektrik untuk menggerakkan motor.
Kelebihannya adalah proses ini tidak menghasilkan pencemaran karbon, jika tenaga yang digunakan untuk menghasilkan hidrogen itu datang daripada sumber bersih seperti nuklear, angin atau suria.
Malah, reaktor nuklear boleh menghasilkan suhu tinggi sekitar 750°C, yang membolehkan proses penghasilan hidrogen dijalankan dengan lebih cekap dan kurang penggunaan elektrik.
Cara ketiga, dan yang paling menjanjikan menurut Buongiorno, ialah menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan bahan api sintetik.
Dengan gabungan CO₂ dan hidrogen, kita boleh menghasilkan bahan api dengan komposisi kimia yang sama seperti petrol atau diesel.
Dalam pendekatan ini, tenaga nuklear bukan sahaja digunakan untuk menghasilkan hidrogen daripada air, malah boleh juga membekalkan tenaga untuk teknologi carbon capture, menyedut CO₂ dari udara atau air laut.
Bahan api sintetik yang terhasil boleh digunakan dalam kenderaan biasa sedia ada, tanpa perlu menukar sistem enjin.
Walaupun CO₂ akan dilepaskan semula apabila bahan api ini dibakar, tetapi jika lebih banyak CO₂ diserap dari udara berbanding yang dilepaskan, maka proses ini mampu memberikan impak positif dalam melawan perubahan iklim.
BACA: Sebab ‘Wajib’ Pecah Cermin Pintu Sisi Bila Kereta Tenggelam
Sumber: MIT Climate Portal