Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ketahui Sebab Banyak Stesen Minyak Dekat Antara Satu Sama Lain

Hannah
sebab stesen minyak dekat
Gambar: BERNAMA

Ketahui Sebab Banyak Stesen Minyak Dekat Antara Satu Sama Lain

Jika anda pernah memandu di kawasan bandar atau pekan kecil, pasti anda perasan betapa banyak stesen minyak yang berada sangat dekat antara satu sama lain. Kadangkala, ia hanya dipisahkan oleh sebatang jalan atau beberapa meter sahaja.

Mungkin timbul persoalan, bukankah mereka bersaing sesama sendiri? Kenapa tidak buka stesen minyak di kawasan yang tiada pesaing dan ‘monopoli’ pelanggan di situ?

Jawapannya ialah kerana strategi perniagaan yang dikenali sebagai “pengelompokan” (clustering). Sebenarnya, ini adalah sesuatu yang biasa.

Prinsip Ekonomi: Hukum Hotelling

Menurut Presh Talwalkar, penulis buku The Joy of Game Theory: An Introduction to Strategic Thinking, penjelasan terbaik datang daripada Hukum Hotelling, diperkenalkan oleh ahli ekonomi Harold Hotelling.

Hukum ini menyatakan bahawa apabila dua atau lebih pesaing cuba menarik pelanggan, mereka cenderung untuk memilih lokasi di tengah-tengah kawasan yang paling mudah diakses oleh semua pelanggan.

Lokasi seperti jalan utama, berhampiran persimpangan lebuhraya atau kawasan tumpuan pelancong sangat strategik kerana lalu lintas yang tinggi dan permintaan yang konsisten.

Jika satu stesen minyak membuka cawangan di lokasi ini, yang lain akan ikut serta supaya tidak ketinggalan.

Mereka bersaing secara langsung, tetapi tetap memilih lokasi berdekatan kerana tiada insentif untuk membuka jauh dari kawasan berpotensi tinggi.

Apa jadi jika buka stesen minyak jauh dari kawasan kluster?

Katakan ada sebuah stesen minyak yang berjaya membuka di kawasan sunyi tetapi strategik, dan meraih keuntungan besar.

Adakah ia akan terus memonopoli kawasan itu? Tidak semestinya.

Kejayaan tersebut akan menarik perhatian pesaing, yang kemudiannya akan membuka stesen minyak berhampiran, lalu membentuk satu lagi kelompok baharu.

Cara stesen minyak bersaing

Kalau semua berada berdekatan, macam mana mereka tarik pelanggan? Antara cara yang biasa digunakan:

  • Tawar harga minyak lebih rendah (tapi pesaing boleh turunkan harga juga)

  • Sediakan kemudahan tambahan seperti minuman sejuk, kedai serbaneka atau restoran francais

  • Bina jenama tersendiri, seperti stesen Buc-ee’s di Amerika yang terkenal dengan tandas bersih dan makanan sedap

Risiko kluster stesen minyak: Kesihatan penduduk

Namun, ada satu kesan negatif daripada pengelompokan stesen minyak, iaitu risiko kesihatan.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Environmental Health Science & Engineering pada 2021 menyatakan bahawa tinggal berhampiran dengan banyak stesen minyak boleh meningkatkan risiko kanser akibat pendedahan kepada benzena dan bahan kimia berbahaya lain.

Jadi walaupun strategi ini masuk akal dari sudut ekonomi, dari sudut kesihatan, ia mungkin membawa kesan jangka panjang yang merisaukan.

Bukan stesen minyak saja buat begitu

Sama seperti stesen minyak, banyak perniagaan lain juga mengkaji data lokasi seperti jumlah pengguna jalan, kos pembinaan dan kepadatan penduduk.

Sebab itulah anda sering lihat restoran makanan segera seperti McDonald’s, KFC, dan Burger King berderet-deret.

Ini bukan kebetulan, tetapi hasil daripada strategi ekonomi berdasarkan tingkah laku pelanggan.

Pengelompokan membolehkan semua perniagaan bersaing di tempat yang mempunyai trafik tinggi, daripada membuka di kawasan sunyi dan tidak diketahui orang.

BACA: Elak Ucap “Tolong” & “Terima Kasih” Kepada ChatGPT, Ini Sebabnya

BACA: Terlalu Ramai Percaya AI, CEO OpenAI Dedah Perkara Mengejutkan Tentang ChatGPT

BACA: Ketahui Sebab Ada Lubang Kecil Pada Tingkap Pesawat

Sumber: Mental Floss