Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dengan kerjasama strategik Synapze Sdn Bhd, hari ini melancarkan Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025, yang telah disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.

Mengangkat tema “Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future”, MDX kini memasuki tahun ketiga penganjurannya dan berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sidang kemuncak ini mengetengahkan pencapaian terkini dalam teknologi baharu, transformasi digital dan inovasi, sambil menghimpunkan pemimpin global, perintis industri serta pembuat dasar untuk menyokong aspirasi Malaysia mencapai 30% sumbangan ekonomi digital kepada KDNK menjelang tahun 2030.
Antara barisan penceramah terkemuka tahun ini termasuk Dr. Keyu Jin (London School of Economics), Nicklas Bergman (pelabur teknologi dan usahawan), bersama inovator dan pembuat dasar Malaysia yang terkemuka. Pandangan mereka akan memberi tumpuan kepada bagaimana ASEAN, dengan unjuran ekonomi digital mencecah USD 1 trilion menjelang 2030, boleh memanfaatkan kepimpinan Malaysia untuk muncul sebagai kuasa digital global.

Lebih daripada 5,000 peserta dijangka hadir ke MDX Summit 2025, merangkumi usahawan, pelabur, pemimpin korporat, persatuan perdagangan, serta profesional digital. Sidang ini menampilkan persidangan, pameran interaktif, sesi rangkaian berimpak tinggi serta meja bulat dasar, sekali gus membuka peluang kerjasama rentas sempadan dan pelaburan strategik.
Fokus utama MDX tahun ini adalah kepada lima bidang Next-Gen:
Next-Gen Data – Ekosistem data lancar bagi pertumbuhan ekonomi
Next-Gen Computing – Memanfaatkan AI, pengkomputeran kuantum dan kriptografi canggih
Next-Gen Trust – Memupuk perkongsian data yang beretika dan selamat
Next-Gen Creativity – Menggabungkan daya kreativiti manusia dengan inovasi digital seperti avatar dan bandar maya
Next-Gen Talent – Memperkasa tenaga kerja masa depan Malaysia dengan kemahiran digital
MDX Summit 2025 turut dianjurkan seiring dengan penganjuran pertama SmartGOV Malaysia 2025 dengan kerjasama Jabatan Digital Negara (JDN). SmartGOV Malaysia 2025 menonjolkan perjalanan kerajaan dalam mendepani transformasi digital. Melalui perkhidmatan awam berasaskan AI, permit digital dan perancangan bandar pintar, ia membuktikan bagaimana teknologi mampu mengubah penyampaian perkhidmatan, mengurangkan birokrasi, dan meningkatkan keberkesanan untuk Rakyat.

Secara bersama, MDX Summit 2025 dan SmartGOV menyerlahkan keupayaan Malaysia memanfaatkan rangkaian 5G nasional dan ekosistem Malaysia Digital (MD) yang lebih luas merangkumi penyelesaian, bakat dan infrastruktur, sekali gus mengukuhkan komitmen negara terhadap keterangkuman, daya tahan, dan kelestarian dalam ekonomi digital.
“MDX Summit 2025 bukan sekadar pameran teknologi, ia adalah platform untuk tindakan. Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar, kita sedang membina kerjasama yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan. Bersama SmartGOV Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, MDX memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai ASEAN, sedia menjadi pemangkin masa depan bernilai trilion dolar,” kata Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.
Sebagai inisiatif utama di bawah MD, MDX Summit 2025 mengukuhkan status Malaysia sebagai hab digital terulung ASEAN. Sidang kemuncak ini berfungsi sebagai platform bertaraf dunia untuk kerjasama, penerapan digital, dan pelaburan bernilai tinggi, sekali gus memperkasakan ekosistem digital negara dan meneguhkan peranan Malaysia sebagai peneraju transformasi digital serantau. Sidang ini turut mendapat sokongan padu daripada penaja utama, Yayasan Peneraju.
Sempena MDX Summit 2025, Kementerian Digital dan MDEC turut mengumumkan penerima Malaysia Digital Acceleration Grant – Artificial Intelligence (MDAG-AI). MDAG-AI, yang diperkenalkan pada Julai 2025, merupakan inisiatif pembiayaan yang menyokong syarikat MD tempatan dalam mempercepatkan pembangunan dan penerapan penyelesaian berasaskan AI yang berpotensi tinggi di pasaran, selari dengan usaha Malaysia meningkatkan teknologi baharu serta daya saing digital. Di bawah MDAG-AI, syarikat yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga 70% daripada jumlah kos projek, terhad kepada RM2 juta bagi projek yang berlangsung sehingga setahun.
Penerima MDAG-AI adalah Elliance Sdn Bhd, AAE Solution Sdn Bhd, Ventionex Innovations Sdn Bhd, SmartPeep Sdn Bhd, Hexa IOT Sdn Bhd, Vulsan X Cydef Sdn Bhd, Jess Technology Sdn Bhd, Cuscapi Innovation Lab Sdn Bhd, Cargo4u Sdn Bhd, Macro Kiosk Berhad, Health4u Solutions Sdn Bhd, Caction Sdn Bhd, dan Clazzy Sdn Bhd.
Untuk maklumat lanjut mengenai MDX Summit 2025, sila layari https://mdxsummit.com/