Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama strategik Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Synapze Sdn. Bhd. buat julung kalinya melalui MDX Summit 2025 menganjurkan SmartGOV Malaysia 2025, sebuah acara berprestij yang menghimpunkan pakar industri, agensi kerajaan, tokoh akademik, dan syarikat teknologi bagi membincangkan serta mempamerkan solusi digital baharu yang dapat memperkukuh keberkesanan tadbir urus kerajaan.

Acara ini berlangsung pada 17 hingga 19 September 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan dirasmikan oleh Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo pada 17 September 2025.

SmartGOV Malaysia 2025 mengetengahkan tema “GovTech for the Future – Innovating Public Service Delivery” atau “GovTech untuk Masa Hadapan – Inovasi dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam”. Fokus utama adalah memperlihatkan bagaimana teknologi baharu memuncul seperti Kecerdasan Buatan (AI), Analitik Data Raya dan Pengkomputeran Awan boleh mengubah wajah penyampaian perkhidmatan kerajaan. Acara ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia untuk membangunkan ekosistem digital kukuh yang inklusif, responsif, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sebagai agensi peneraju transformasi digital sektor awam, JDN telah membangunkan lebih daripada 30 produk dan perkhidmatan digital yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan sektor awam. Antaranya ialah Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam, Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) yang berkuat kuasa pada 28 April 2025, Data Terbuka Sektor Awam (data.gov.my), Aplikasi Pusat Sehenti Digital (MyGOV Malaysia), Portal MyGovernment (malaysia.gov.my) serta Portal Rai (rai.malaysia.gov.my) yang menyediakan maklumat untuk bukan warganegara dalam aspek pelancongan, pendidikan, pekerjaan dan pelaburan.

Melalui SmartGOV Malaysia 2025, inisiatif-inisiatif ini dipertontonkan kepada rakyat seterusnya membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan tadbir urus serta memperkukuh keterangkuman digital dalam kalangan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa.

SmartGOV Malaysia 2025 turut menampilkan barisan penceramah bertaraf antarabangsa yang dijangka menjadi tarikan dan tumpuan utama acara ini. Antaranya pakar ternama yang berkongsi idea dan pengalaman seperti Puan Kamales Lardi, yang merupakan pakar transformasi digital dan AI dengan pengalaman lebih 25 tahun di peringkat global serta penulis buku The Human Side of Digital Business Transformation dan Artificial Intelligence for Business; Profesor Madya Dr. Nurul Nuha Abdul Molok, pakar keselamatan siber dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengetuai Unit Penyelidikan Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan (GRC); dan Encik Hannes Astok, Pengarah Eksekutif e-Governance Academy, Estonia yang akan berkongsi amalan terbaik transformasi digital sektor awam. Program ini turut mengetengahkan barisan panel tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai latar belakang industri, teknologi, dan pentadbiran kerajaan.

SmartGOV Malaysia 2025 merupakan titik tolak penting dan pemangkin dalam usaha Malaysia mempercepatkan transformasi digital sektor awam. Dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, acara ini mampu menjadi pemacu kepada sistem pentadbiran yang lebih inovatif, telus, dan berkesan, sekaligus menyumbang kepada pencapaian aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara digital maju.