Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Pemandu Jentolak Temui Penemuan Misteri Di Luar Pangkalan Tentera Laut
Seorang pemandu jentolak dilapor menemui rangka manusia ketika menjalankan kerja penggalian di luar pangkalan tentera laut di daerah Sattahip, Thailand.
Menurut portal The Thaiger, pihak berkuasa mendakwa rangka itu berkemungkinan milik manusia zaman dahulu.
Pegawai dari Balai Polis Sattahip menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 11 pagi di luar Hospital Abhakornkiatiwong yang terletak dalam kawasan Pangkalan Tentera Laut Sattahip.
Rangka berkenaan ditemui berhampiran pintu masuk hospital ketika pekerja sedang menggali parit bagi pemasangan paip komunikasi.
Pasukan penyelamat dari Yayasan Sawang Rojanathammasathan Sattahip segera dikerahkan ke lokasi untuk melakukan siasatan lanjut.
Menurut pasukan tersebut, beberapa serpihan tulang rangka manusia dijumpai berselerak di dalam lubang penggalian berkenaan.

The Thaiger melaporkan pasukan penyelamat mengumpulkan setiap cebisan tulang tersebut untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
Secara keseluruhan, lebih daripada seratus serpihan tulang berjaya dikumpulkan, malah pasukan penyelamat turut menemukan sekeping kecil helaian emas.
Difahamkan, ia dipercayai merupakan perhiasan pengebumian kuno, lazimnya diletakkan di dahi si mati.
Pemandu jentolak menjelaskan beliau sedang menggali parit sedalam kira-kira 1.5 meter apabila rakan sekerjanya ternampak cebisan tulang terbabit.

Saksi berusia 36 tahun itu mengakui terkejut dengan penemuan tersebut dan memberitahu bahawa sepanjang lebih empat tahun bekerja mengendalikan jentolak, inilah kali pertama beliau menemui rangka manusia.
Salah seorang anggota penyelamat, Chanonchaii Chiaocharn, mengesahkan tulang yang ditemui itu sememangnya milik manusia.
Beliau menambah, keadaan rangka tersebut menunjukkan ia sudah sangat lama, kemungkinan berusia beberapa dekad hingga mencecah satu abad, memandangkan sebahagian besar struktur tulang telah terurai dan bercampur dengan tanah.
Rangka berkenaan telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik untuk dianalisis lanjut.
Dalam pada itu, pakar akan mengenal pasti identiti serta anggaran usia rangka berkenaan, namun siasatan awal menunjukkan ia merupakan rangka kuno dan bukan daripada pengebumian baru-baru ini.
Sumber: The Thaiger