Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Ayah Melutut, Meraung Cari Anak Hilang Dalam Tanah Runtuh
Sebuah video tular di media sosial memaparkan detik pilu apabila seorang ayah mencari anaknya yang masih hilang selepas kejadian tanah runtuh di Sibolga, wilayah Sumatera Utara.
Dalam rakaman tersebut, lelaki yang kelihatan lusuh, diselimuti lumpur itu duduk lemah di tengah-tengah timbunan tanah runtuh.
Sesekali, air mata mengalir di pipinya sambil meratapi nasib anak perempuannya yang masih belum ditemui, tiga hari selepas bencana melanda.
Beberapa individu dilihat cuba menenangkan lelaki itu, namun dia tetap membatu sambil meraung.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia pada Selasa, jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Pulau Sumatera sejak minggu lalu telah meningkat kepada 712 orang.
Lebih 500 orang masih dilaporkan hilang manakala kira-kira 1.1 juta orang terjejas akibat banjir di tiga buah wilayah di pulau itu, lapor AFP.
Lapor AFP lagi, jumlah korban meningkat kepada 753 orang pada Rabu, manakala jumlah mangsa hilang meningkat kepada 650 orang.
Angka ini dipercayai masih belum lengkap kerana banyak kawasan masih terputus hubungan akibat kerosakan infrastruktur atau gangguan bekalan elektrik dan komunikasi.
“Logistik untuk memberi bantuan sangat mencabar. Kerosakan sangat besar dan kawasan yang terjejas sangat luas. Kami berharap dapat menghantar peralatan kebersihan dan bekalan air dari Jakarta serta dari kawasan setempat. Laporan tentang kekurangan makanan dan air sangat membimbangkan, dan keadaan dijangka bertambah rumit dari hari ke hari,” kata Ade Soekadis, pengarah eksekutif Mercy Corps Indonesia, sebuah organisasi bantuan kemanusiaan.
Di sisi lain, seorang mangsa menggambarkan banjir dan tanah runtuh ini sebagai bencana yang belum pernah berlaku sebelumnya.
“Ia datang seperti gempa bumi. Saya fikir, ‘Kalau saya nak mati, biarlah’,” katanya sambil menahan tangisan.
Walaupun beliau berjaya menyelamatkan diri daripada air yang naik mendadak, jiran-jirannya tertimbus dalam runtuhan.
Sementara itu, seorang mangsa lain berkongsi detik cemas melihat seluruh dapurnya hanyut dibawa arus banjir.
“Ini kali pertama saya alami banjir sebegini. Rumah saya musnah sepenuhnya, bersama semua harta benda kecuali beberapa barang yang sempat dibawa keluar,” katanya.
BACA: Minta Disuap, Kisah Pemandu & Anak Yatim Ini Undang Sebak
Sumber: @antaranewscom/IG, AFP