Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Lintasan Rafah Dibuka Semula Untuk Warga Gaza
Israel membuka semula sebahagian lintasan Rafah antara Semenanjung Gaza dan Mesir yang musnah akibat perang, lapor AFP.
Ia susulan gesaan daripada pertubuhan kemanusiaan selama berbulan-bulan, namun akses akan dihadkan kepada pergerakan individu sahaja.
COGAT, badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelaras hal ehwal awam Palestin, tidak menyebut mengenai kemasukan bantuan berskala besar yang lama dinantikan.
Selain itu, ia turut menjelaskan bahawa pergerakan individu melalui pintu sempadan itu dalam kedua-dua arah dijangka bermula Isnin.
Rafah dianggap sebagai laluan utama bekalan ke wilayah Palestin yang terjejas teruk itu, di mana keadaan kemanusiaan masih kritikal selepas dua tahun peperangan, meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober.
Lintasan itu ditutup sejak tentera Israel mengambil alih kawalannya pada Mei 2024 ketika perang dengan Hamas, kecuali pembukaan semula secara singkat dan terhad pada awal 2025.
“Pintu Rafah dibuka hari ini untuk pergerakan penduduk secara terhad sahaja
"Pergerakan penduduk dalam kedua-dua arah, keluar dan masuk Gaza, dijangka bermula pada Isnin," kata COGAT pada Ahad lalu.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas memaklumkan kira-kira 200 pesakit sedang menunggu kebenaran untuk meninggalkan wilayah itu sebaik pintu sempadan dibuka.
Rakaman AFP menunjukkan barisan ambulans memasuki kawasan lintasan dari bahagian Mesir, namun sumber memaklumkan belum ada yang dibenarkan masuk ke Gaza setakat ini.
“Pembukaan Rafah membuka sedikit pintu harapan buat pesakit, pelajar dan penduduk Gaza
“Kami perlukan pintu sempadan ini dibuka sepenuhnya untuk perjalanan dan kemasukan barangan tanpa sekatan Israel dan saya fikir perkara ini memerlukan tekanan besar terhadap Israel," kata individu yang tinggal di sebuah khemah di kem Al-Shati.
Seorang pegawai Palestin yang enggan dikenali memaklumkan bahawa sekumpulan kira-kira 40 rakyat Palestin yang berkait dengan Pihak Berkuasa Palestin telah tiba di bahagian Mesir lintasan itu dan turut menunggu kebenaran masuk.
Media milik kerajaan Mesir, Cairo News melaporkan bahagian Mesir pintu Rafah akan dibuka “24 jam sehari”, manakala hospital-hospital Mesir bersedia menerima pesakit dari Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin Mesir dan Jordan sekali lagi menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang usaha memindahkan penduduk Palestin dari Gaza.
Dalam pertemuan di Kaherah, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Jordan Abdullah II menegaskan semula pendirian tegas Mesir dan Jordan yang menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka.
Kedua-dua pemimpin turut menyeru agar akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke Semenanjung Gaza dibenarkan.
Sebelum ini, Israel menyatakan ia tidak akan membuka semula lintasan Rafah sehingga mayat Ran Gvili, tebusan Israel terakhir yang ditahan di Gaza dipulangkan.
Jenazahnya ditemui beberapa hari lalu dan dikebumikan di Israel pada Rabu, dengan COGAT mengumumkan pembukaan semula pintu Rafah dua hari kemudian.