Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Pakar Dedah 5 Tabiat Harian Yang Boleh Rosakkan Otak Manusia
Otak merupakan organ paling penting dalam tubuh manusia. Ia mengawal cara kita berfikir, membuat keputusan, dan bertindak.
Jika tidak dijaga dengan baik, fungsinya boleh merosot lebih cepat daripada yang disangka.
Dalam kehidupan seharian, setiap orang ada tabiat yang dilakukan secara berulang tanpa disedari. Sama ada ketikat bekerja, berehat, mahupun semasa menjalani rutin harian, kebanyakan perbuatan ini sudah menjadi kebiasaan yang sukar diubah.
Namun begitu, tidak semua tabiat yang diamalkan memberi kesan positif kepada diri. Ada sebahagiannya kelihatan remeh dan tidak berbahaya, tetapi sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan sekiranya diteruskan dalam jangka masa panjang.
Kebanyakan tabiat ini biasanya terbentuk kerana faktor gaya moden yang serba pantas.
Tekanan kerja, kekurangan masa rehat, serta kecenderungan untuk sentiasa bergantung pada gajet membuatkan ramai tidak sedar yang rutin mereka sebenarnya mempengaruhi kesihatan tubuh dan minda.
Oleh itu, pakar kesihatan sering menekankan kepentingan menjaga keseimbangan antara gaya hidup dan kesihatan mental.
Hari ini, SK akan kongsikan lima tabiat harian yang ramai tidak tahu boleh rosakkan otak manusia, menurut The Healthy.
1. Anda tidak bersenam
Kurang pergerakan fizikal dan jarang bersenam boleh mempercepatkan kemerosotan fungsi otak dan membuat kita kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Preventive Medicine pada tahun 2020 mendapati, kemerosotan mental berlaku dua kali lebih cepat dalam kalangan individu berusia 45 tahun ke atas yang tidak aktif berbanding mereka yang aktif bergerak.
Kajian lain pada tahun 2022 pula menunjukkan, aktiviti fizikal membantu menjaga bahagian otak yang dipanggil hippocampus kawasan penting untuk memori dan daya ingatan.
Walaupun hasil kajian masih belum muktamad, pakar neurologi Joe Verghese menjelaskan bahawa bersenam tetap memberi banyak manfaat kepada kesihatan secara keseluruhan.
Menurut satu kajian terbaru, jumlah senaman yang mencukupi dapat membantu otak kekal tajam dan berfungsi dengan baik.
“Walaupun anda mula bersenam ketika usia 60-an, anda tetap boleh dapat banyak manfaat dengan melakukan aktiviti mudah seperti berjalan,” jelas pengarah pusat kajian otak dan kesihatan mental di Northeastern University, Boston, Art Kramer.
Selain itu, menurut Denise C. Park dari University of Texas di Dallas, senaman angkat berat juga boleh membantu menjaga kesihatan otak dan memperlahankan kemerosotan fungsi minda.
2. Anda tidak melakukan apa-apa sepanjang hari
Menurut kajian American Medical Association pada tahun 2019, orang Amerika kini menghabiskan lebih banyak masa duduk menghadap skrin, berbanding sebelum ini.
Gaya hidup yang tidak aktif ini boleh menyebabkan perubahan pada otak yang dikaitkan dengan masalah ingatan.
Oleh itu, The Healthy menyarankan untuk bangun dan berjalan selama lima minit setiap jam. Anda juga boleh tetapkan pemasa sebagai peringatan.
Menurut satu kajian sukan pada tahun 2019, fungsi kognitif peserta menunjukkan peningkatan apabila mereka berhenti duduk terlalu lama dan mula bergerak seketika.
Hasil yang sama turut dilihat dalam kalangan pelajar sekolah, menunjukkan bahawa rehat sekejap untuk bergerak juga penting untuk orang dewasa.
3. Anda kerap mengambil makanan segera dan minuman bergula
Pola pemakanan yang boleh merosakkan jantung juga boleh menjejaskan kesihatan otak, terutamanya makanan dan minuman yang tinggi lemak serta gula.
Satu kajian penyakit Alzheimer pada tahun 2017 dapati bahawa individu yang minum lebih daripada satu minuman bergula setiap hari mempunyai saiz otak yang lebih kecil dan markah lebih rendah dalam ujian memori. Kedua-dua tanda ini dikaitkan dengan risiko penyakit Alzheimer pada masa hadapan.
Kajian juga menunjukkan bahawa pemakanan sihat boleh membantu mengekalkan fungsi otak, termasuk daya ingatan dan kecepatan berfikir. Diet yang disesuaikan dengan keperluan individu, termasuk latar belakang budaya, dilihat memberi kesan positif dalam hal ini.
Menurut National Institutes of Health, diet Mediterranean antara pilihan terbaik untuk kesihatan otak. Diet ini menekankan pengambilan sayur-sayuran, bijirin penuh, ikan dan minyak zaitun.
Selain itu, diet DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) juga disyorkan oleh Dr. Kaplan kerana memberi manfaat yang hampir sama.
Pengambilan alkohol pula sebaiknya dikurangkan, kerana kajian menunjukkan walaupun sedikit perbezaan dalam jumlah minuman boleh memberi kesan terhadap saiz dan kesihatan otak dalam jangka panjang.
4. Anda suka bersendirian
Menurut The Healthy, rasa kesunyian dikaitkan dengan kemerosotan fungsi kognitif, manakala bergaul dan berinteraksi dengan orang lain pula membantu seseorang mencari tujuan serta makna dalam hidup.
Kajian juga menunjukkan bahawa individu yang kekal aktif secara sosial mempunyai tahap kesihatan mental yang lebih baik dan risiko demensia yang lebih rendah.
Oleh itu, disarankan untuk cari peluang untuk berinteraksi dengan orang lain dengan cara yang bermakna, seperti berbual panjang atau melakukan aktiviti bersama.
Menurut Verghese, pastikan tahap pendengaran anda diperiksa. Masalah pendengaran juga boleh menjadi salah satu faktor risiko kemerosotan kognitif.
Kehilangan pendengaran boleh menyebabkan kemurungan, rasa terasing daripada sosial, serta mengurangkan rangsangan deria yang penting untuk mengekalkan aktiviti otak.
5. Anda tidak luangkan masa untuk berseronok
Satu kajian yang dijalankan dalam jurnal New England Journal of Medicine oleh Dr. Verghese melibatkan lebih daripada 450 individu berusia 75 tahun ke atas selama lima tahun.
Kajian itu mendapati, mereka yang kerap melakukan aktiviti riadah seperti bermain permainan papan, membaca, menari atau bermain alat muzik mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami demensia berbanding mereka yang kurang aktif.
Justeru, cari aktiviti yang anda minati dan boleh dilakukan beberapa kali seminggu, cadang Dr. Verghese.
“Saya selalu beritahu pesakit untuk pilih aktiviti yang mereka suka supaya mereka akan lakukannya secara konsisten, sekurang-kurangnya tiga atau empat kali seminggu,” jelasnya.
Lebih baik jika anda pelbagaikan aktiviti seperti bermain teka silang kata, catur dan alat muzik, asalkan ia mencabar minda.
BACA: Kajian Dedah Jalan Kaki Dengan Jumlah Langkah Ini Boleh Kekalkan Berat Badan
Sumber: The Healthy