Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1447H/2026M
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Negeri Pahang untuk tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi ditetapkan pada tiga kadar berbeza iaitu RM8.00, RM14.00 dan RM21.00, bergantung kepada jenis beras yang digunakan oleh pembayar zakat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, kadar minimum yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam di negeri ini ialah RM8.00 bagi mereka yang menggunakan beras putih tempatan.

"Kadar minimum yang perlu dibayar oleh setiap rakyat Pahang yang berkeupayaan mengeluarkan zakat fitrah ialah RM8.00 bagi mereka yang menggunakan beras putih tempatan
"Bagi individu yang menggunakan beras import atau yang setara, kadar yang diwajibkan ialah RM14.00, manakala bagi pengguna beras basmati atau yang setara, kadar yang ditetapkan ialah RM21.00," jelas YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain.
Penetapan kadar tersebut diperkenankan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.

Dalam pada itu, umat Islam di negeri ini boleh menunaikan zakat fitrah bermula dari awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
“Semua umat Islam di dalam negeri ini boleh menunaikan bayaran zakat fitrah mereka bermula awal Ramadan sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri,” katanya.

Bagi melancarkan urusan kutipan, seramai 901 orang amil zakat fitrah telah ditauliahkan di seluruh negeri Pahang.
“Orang ramai dinasihatkan membayar zakat fitrah hanya kepada amil yang telah ditauliahkan oleh MUIP,” katanya.
Seiring dengan perkembangan teknologi digital, MUIP turut memperkenalkan penggunaan aplikasi EZ Amil bagi memudahkan urusan kutipan zakat fitrah secara lebih sistematik, cekap dan telus.

Melalui kaedah ini, pembayaran boleh dilakukan secara tunai dan tanpa tunai termasuk QR Pay, FPX, kad debit atau kredit serta perkhidmatan Google Pay dan Apple Pay.
"Selain itu, kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui kaedah FPX turut disediakan menerusi laman sesawang rasmi MUIP di www.muip.gov.my bagi memberi lebih fleksibiliti kepada masyarakat untuk menunaikan zakat fitrah dengan mudah, selamat dan diyakini
"Bagi memastikan kelancaran kaedah pembayaran ini, majlis telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad dalam integrasi kemudahan kod QR," tambahnya lagi.

Dalam kenyataan sama, MUIP memaklumkan bahawa mana-mana individu yang didapati memungut zakat fitrah tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sesiapa yang memungut zakat fitrah tanpa kebenaran adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan boleh dikenakan denda atau penjara,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, MUIP turut mengumumkan peruntukan bantuan berjumlah RM18.27 juta sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, melibatkan lebih 34,000 penerima di seluruh negeri.
Bantuan tersebut merangkumi sumbangan kepada asnaf fakir miskin, pengimarahan masjid dan surau, komuniti Orang Asli, institusi tahfiz, madrasah serta bantuan Aidilfitri kepada golongan memerlukan dan saudara baharu.

Pada masa sama, MUIP turut melancarkan dua inisiatif digital baharu iaitu Sistem E-Derma dan Sistem MOH Bersedekah bagi memperkukuh pengurusan sumbangan kebajikan serta memudahkan masyarakat menyalurkan derma secara lebih telus dan berakauntabiliti.
MUIP turut menyeru masyarakat agar memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan bagi memudahkan urusan ibadah dan sumbangan kebajikan, di samping memastikan zakat fitrah ditunaikan mengikut saluran yang sah dan diiktiraf.
