Di dunia liar, haiwan bergantung kepada kekuatan fizikal dan skil untuk terus hidup. Jika tidak, mereka akan menjadi mangsa haiwan lain atau mati ketika memburu makanan untuk mengisi perut.
Jurugambar Australia, Tina Scott baru-baru ini berkongsi detik seekor burung ‘bertarung’ dengan seekor ikan pari yang ingin dimakannya sehingga menyebabkan kecederaan. Biarpun terlihat teruk cedera, burung tersebut berjaya untuk terus hidup selepas memakan ikan berkenaan.
Menurut Mothership.sg, gambar itu telah diambil di pantai di barat Australia, memaparkan aksi burung dendang air (pied cormorant) cuba memakan seekor ikan pari bintik biru.

Berpantang maut sebelum ajal, ikan itu telah bertindak menikam kepala burung berkenaan hingga hampir mengenai mata kirinya sehingga berdarah.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi si burung dendang apabila ia terus mencengkam kuat pari berkenaan sehingga tikaman tersebut akhirnya terlerai.


Jelas portal itu, Scott terus memerhatikan burung berkenaan selama lebih satu jam. Selepas menikmati ikan pari tersebut, si burung dendang dikatakan sempat berjemur untuk mengeringkan bulunya.


Difahamkan, spesies burung itu seringkali ditemui di persisiran pantai Australia di mana ia memburu ikan dan juga kerang-kerangan.
Dikenali sebagai haiwan yang lasak, burung ini dikatakan boleh bertahan dalam pelbagai bentuk serangan yang kelihatan boleh meragut nyawa.
Sementara itu, pari berbintik biru pula merupakan salah satu spesies pari yang banyak ditemui di kawasan berkenaan, tulis Mothership.sg.
Ia mempunyai satu atau dua tulang berbisa pada ekornya yang digunakan ketika mempertahankan diri.
Pun begitu, ia dipercayai jarang menyebabkan kematian dalam kalangan manusia.
Sumber: Mothership.sg