Siakap Keli
larikan diri ke maldives
Gambar Via NDTV, Tamil Guardian

Dihalang Masuk Ke Dubai, Presiden Sri Lanka Dilapor ‘Larikan Diri’ Ke Maldives

Dihalang Masuk Ke Dubai, Presiden Sri Lanka Kini Dilapor ‘Larikan Diri’ Ke Maldives

Colombo – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dilaporkan telah ‘melarikan diri’ ke Maldives selepas kediaman rasminya di Colombo ‘diserang’ oleh penunjuk perasaan yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Memetik laporan NDTV, Rajapaksa telah ‘terbang’ ke Maldives pada awal Rabu dan ia berkemungkinan sebagai langkah permulaan kepada perletakan jawatannya.

Pada hujung minggu lalu, beliau dipercayai telah berjanji untuk meletakkan jawatan dan membuka jalan bagi ‘peralihan kuasa secara aman’.

Sebagai presiden, Rajapaksa didakwa mendapat ‘imuniti’ daripada penahanan dan beliau ingin ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Difahamkan, beliau telah berlepas dari lapangan terbang antarabangsa utama Sri Lanka dengan menaiki pesawat tentera Antonov-32 bersama isteri dan pengawal peribadinya.

Setibanya di Maldives mereka dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan dan didakwa dikawal oleh polis pengiring.

Sebelum itu, pemimpin yang berusia 73 tahun itu juga dipercayai telah dihalang selama lebih 24 jam dalam pergaduhan yang memalukan dengan kakitangan imigresen di Colombo.

Beliau pada awalnya ingin terbang ke Dubai dengan penerbangan komersial tetapi kakitangan di lapangan terbang itu tidak mahu ‘melayani’ VIP dan menegaskan bahawa semua penumpang perlu melalui kaunter awam.

Menurut laporan, Rajapaksa enggan melalui kaunter awam kerana bimbang reaksi orang ramai dan disebabkan itu beliau terlepas empat penerbangan pada Isnin untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah kebenaran untuk mendarat di negara jiran terdekat iaitu India juga tidak diperolehi serta-merta.

Sementara itu, adik bongsu kepada Rajapaksa, yang telah meletak jawatan pada April sebagai Menteri Kewangan telah berjaya berlepas ke Dubai pada awal Selasa.

Basil yang turut mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat dipercayai terpaksa mendapatkan pasport baharu selepas meninggalkannya di istana presiden yang telah ‘diserbu’ penunjuk perasaan pada Sabtu.

Sumber rasmi berkata beg pakaian yang penuh dengan dokumen juga telah ditinggalkan di rumah besar itu bersama-sama dengan wang tunai 17.85 juta rupee, yang kini berada di dalam jagaan Mahkamah Colombo.

Terdahulu, Rajapaksa didakwa telah melakukan salah urus ekonomi sehingga negara tersebut bangkrap dan mengalami krisis inflasi yang teruk dan menjejaskan 22 juta rakyatnya.

Jika beliau berundur seperti yang dijanjikan, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe secara automatik akan menjadi pemangku presiden sehingga parlimen memilih ahli parlimen untuk menamatkan penggal presiden yang berakhir pada November 2024.

Sumber: NDTV

Sofea

There's always another side to every story