Budak 7 Tahun Maut, Dada Tertusuk Serpihan Meja Kaca
Seorang kanak-kanak tujuh tahun dilapor maut selepas dadanya tertusuk serpihan kaca dalam kejadian di Kampung Bukit Changgang, Banting semalam.
Menurut Kosmo, kejadian yang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu berlaku kira-kira jam 4 petang di rumahnya.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, siasatan awal mendapati bahawa mangsa sedang bermain seorang diri dan ibu bapanya turut berada di rumah pada waktu itu.
Jelasnya, menurut keterangan dari ibu bapa mangsa, mangsa dikatakan melompat di atas sofa rumahnya dan kemudian terjatuh di atas meja kaca yang berada di hadapan sofa.
“Ini mengakibatkan dada mangsa terkena serpihan kaca dan telah dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Banting.
“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital tersebut,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi, lapor Kosmo.
Dalam pada itu, menurutnya lagi, mayat mangsa juga akan dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian yang sebenar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
BACA: Gempar, Pengguna “Highway” LPT 2 Dakwa Ternampak Kelibat Harimau Tepi Jalan
BACA JUGA: Tular Video ‘Hempuk’ Budak Dengan Meja, Polis Reman Ibu Bantu Siasatan Kes Dera Anak
Sumber: KOSMO
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang