Siakap Keli
anak muda indonesia buat content bersihkan sungai
Gambar tangkap layar video pandawaragroup | TikTok

Jarang Dibuat Orang, Anak Muda Indonesia Buat ‘Content’ Bersihkan Sungai Dipuji Ramai

Sekumpulan anak muda Indonesia meraih perhatian apabila mereka buat content jarang dibuat orang, iaitu bersihkan sungai dipenuhi sampah.

Pernahkah anda terfikir macam mana segelintir orang boleh hidup dalam keadaan persekitaran yang kotor? Tinggal dalam bilik dipenuhi sampah, habuk tak pernah disapu sampai boleh tidur nyenyak sama sekali?

Mungkin situasi itu tidak akan berlaku kepada seseorang yang mementingkan kebersihan, namun boleh jadi ia terjadi kepada orang yang bersikap sebaliknya.

Malah tidak hairanlah jika mereka yang bersikap tidak mementingkan kebersihan akan terbawa-bawa perangai sama ke tempat awam.

Kita sedia maklum bahawa sikap sebegini dipercayai bermula dari rumah, bukan mahu meletakkan kesalahan kepada ibu bapa bahawa mereka tidak memberi didikan tentang kebersihan diri.

Tetapi, jika diri sendiri sudah ‘selesa’ hidup dalam keadaan kotor, macam mana pula?

Gambar hiasan | Kredit: Tribun News

Jika kita lihat, pembuangan sampah merata-rata memang berlaku di mana-mana negara. Perkara ini sukar dibendung kerana wujud individu yang bersikap tidak endah dengan amaran atau tindakan undang-undang yang dijalankan.

Walaupun banyak tong sudah disediakan pihak berwajib namun sungai, sepanjang jalan, pantai mahupun di tepi tong sampah sendiri juga yang menjadi sasaran bahan sisa itu dibuang.

Lebih malang lagi, tidak dinafikan ada yang hanya sekadar menjadi ‘penonton’ sahaja kepada si pelaku yang bersikap sedemikian, walaupun ia berlaku di depan matanya sendiri.

Sebagai contoh, gambar di bawah adalah gambaran sebenar sikap sesetengah manusia yang dipercayai tidak memiliki rasa tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Pemuda Indonesia buat ‘content‘ bersihkan sungai

Namun keberalihan minat manusia ke era media sosial kini sepatutnya boleh dimanfaatkan dengan pelbagai perkara positif bagi mendidik sahsiah masyarakat.

Hari ini media sosial kian dipenuhi dengan pelbagai kandungan (content) yang bervariasi cerita, warna dan suasana. Ada yang indah ditonton, ada juga yang sebaliknya.

Namun menyebarkan aura positif mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar nampaknya sudah menjadi pilihan untuk disebarkan di platform media sosial.

Baru-baru ini sekumpulan anak muda di Indonesia memanfaatkan platform media sosial dengan membuat kandungan bermanfaat membersihkan kawasan sungai yang dipenuhi sampah sarap.

Misi membersihkan sungai yang dibuat oleh kumpulan anak muda itu dimuat naik ke akaun TikTok milik mereka, @pandawargroup untuk tontonan umum.

Gambar: tangkap layar video TikTok

Sikap ini memang sepatutnya mendapat pujian daripada semua orang. Jelas dilihat mereka sangat mementingkan kebersihan dan keadaan persekitaran yang terjaga.

Malah, semua content yang dimuat naik di laman TikTok semuanya berkisar tentang perjalanan mereka membersihkan sesuatu tempat terutamanya di sungai-sungai.

Jika dilihat, banyak komen positif yang ditinggalkan di ruangan komen. Semuanya memuji tindakan anak-anak muda ini, tidak lupa juga ada yang memberikan sokongan dan mendoakan mereka.

Susah nak jumpa golongan anak muda yang bersikap seperti itu. Memang ada tapi sukar. Terhad. Malah, content mereka ini mampu untuk menjadi teladan kepada orang yang menontonnya.

Nak tahu macam mana misi mereka? Mari tonton video di bawah ini & nilaikan sendiri.

@pandawaragroup

biar air sungainya bisa lewat #pandawara #onedayonetrashbag

♬ Song 2 – Blur

Video tersebut sudah ditonton lebih 10.2 juta kali tontonan setakat artikel ini ditulis, 1,3 juta tanda suka dan dihujani lebih 32,000 komentar menarik daripada kalangan warganet.

Kebanyakan mereka memberikan pujian ke atas usaha anak muda ini yang begitu prihatin terhadap kebersihan sungai dan alam sekitar.

Dalam masa sama, jauh dari sudut lain, anak muda ini juga harus dipuji kerana bijak menggunakan platform media sosial untuk memuat naik content bermanfaat.

Bukan sahaja mampu mencapai tontonan, reach dan engagement yang tinggi, malah nilai-nilai positif mengenai kesedaran sosial juga turut tersebar meluas mendominasi ruang maya.

Jika mereka boleh, anda pula bagaimana?

Sumber: pandawaragroup | Tiktok

Florence Nuar