Siakap Keli
tanah runtuh
Gambar: Awani

Tanah Runtuh: Operasi SAR Sembilan Mangsa Diteruskan

BATANG KALI, 18 Dis (Bernama) — Usaha mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, diteruskan hari ini.

Operasi disambung 9 pagi selepas ditamatkan pada 4 pagi tadi, melibatkan sejumlah anggota penyelamat daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat anjing pengesan serta jentera berat untuk mencari mangsa tertimbus.

Kawasan pencarian pula dipercayai masih ditumpukan di ketiga-tiga sektor iaitu sektor A (kem Hillview), sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Keadaan cuaca hari ini cerah dengan pengamal media dari pelbagai agensi turut mula berkampung sejak 7 pagi di lokasi kejadian.

Setakat petang semalam, seramai 24 mangsa telah disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Dalam kejadian sekitar 2.42 pagi Jumaat, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah menimpa tapak perkhemahan itu, di Jalan Genting-Batang Kali di sini.

Sumber: BERNAMA

BACA: Tanah Runtuh: Jenazah Nurul Azmani, Mangsa Pertama Tragedi Selamat Dikebumi

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.