Gangguan IT Landa Dunia, Banyak Syarikat & Penerbangan Terjejas
Gangguan perkhidmatan teknologi maklumat di peringkat global dilapor berlaku dan menjejaskan perkhidmatan banyak syarikat serta penerbangan di seluruh dunia.
Menurut CNA, gangguan berkenaan dipercayai berpunca daripada kemas kini satu perisian keselamatan Crowdstrike yang menjejaskan pengguna Windows Microsoft.
Crowdstrike dalam satu kenyataan turut memaklumkan pihaknya menerima banyak laporan berkenaan ”BSOD mengenai hos-hos Windows” dan sedang menyiasat puncanya.
BSOD merujuk kepada istilah blue screen of death, yang lazim digunakan untuk menggambarkan situasi sistem operasi Windows lumpuh dan skrin biru muncul.
Banyak negara terjejas dengan gangguan IT di seluruh dunia
Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, United Kingdom, Singapura termasuk di Malaysia antara yang terjejas dengan gangguan tersebut.
Di Amerika Syarikat, antara yang terjejas dengan gangguan ini termasuklah beberapa syarikat penerbangan dan syarikat penyiaran.
Manakala di United Kingdom pula, gangguan tersebut turut menjejaskan aktiviti di pasaran bursa saham di negara berkenaan.
Seterusnya di Jepun, operasi beberapa rangkaian restoran makanan segera turut dilapor tergendala.
Menerusi hantaran dan perkongsian-perkongsian di Facebook, warganet di Malaysia turut berkongsi situasi gangguan yang dialami masing-masing ketika ini.
Gangguan tersebut turut mengganggu operasi beberapa syarikat terkemuka tempatan termasuklah KTMB, MAHB dan Air Asia.
Crowdstrike keluar kenyataan berkenaan isu yang sedang dialami
Dalam pada itu, Crowdstrike dalam satu kemas kini maklumkan pihaknya menyedari gangguan yang dikaitkan dengan Falcon Sensor.
“Pasukan kejuruteraan kami sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan isu ini.
“Status akan dimaklumkan dari semasa ke semasa apabila kami memiliki lebih banyak maklumat,” katanya.
BACA: Luar Biasa, Dua Pelajar Malaysia Raih “Double Master” Dari Universiti Ohio, Amerika
Sumber: Channel News Asia