Tanah Jerlus: Pasar Malam Lorong TAR Ditutup Sementara – DBKL
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penutupan sementara Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) hari ini berikutan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Dalam satu kenyataan, DBKL berkata langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada usaha mencari mangsa kejadian terbabit.
Selain itu, Program Santai Seni yang dijadualkan pada Ahad, 25 Ogos 2024 turut ditunda.
“Susulan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada pagi semalam, dimaklumkan bahawa Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman pada hari ini, 24 Ogos 2024 ditutup.
“Ini bagi memberi laluan kepada usaha-usaha mencari mangsa yang masih belum dijumpai serta mengambil kira faktor keselamatan para peniaga pasar malam.
“Dimaklumkan juga Program Santai Seni @ TAR (Tuanku Abdul Rahman) yang diadakan pada Ahad minggu kedua dan keempat serta dijadualkan pada esok, 25 Ogos 2024 adalah ditunda,” katanya menerusi laman Facebook.
BACA: Tanah Jerlus: Operasi SAR Ditangguh, Hanya Selipar Mangsa Ditemukan
https://www.facebook.com/dbkl2u/posts/pfbid02rS4xWQvWf1UYczcEXaVX2cmXXkWXBuynhdCNZDDJU4GEUNcsx2GJkQvNMbCSrRfyl
Terdahulu, kejadian yang berlaku di hadapan Malayan Mansion pada 23 Ogos itu telah melibatkan seorang pelancong. Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India tersebut masih diteruskan.
BACA: SAR Mangsa Tanah Jerlus Diteruskan Pagi Ini
Menurut Bernama, operasi SAR ini melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium turut terlibat dalam perbincangan menentukan lokasi pencarian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa turut berada di lokasi kejadian pagi tadi. Menurutnya, operasi SAR malam tadi terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat serta persekitaran yang gelap.
BACA: Petanda Awal “Sinkhole”, Ini Yang Perlu Anda Perhatikan
Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam pula memaklumkan pihaknya membuka setiap lurang bagi membantu usaha SAR.
“Kita akan ke hilir dan buka setiap lurang pembetungan dan kita akan teliti setiap lurang itu. Kita sudah mula buka tengah hari tadi tetapi tidak jumpa apa-apa.
“Kalau ada, mangsa akan tersangkut di inter pump station namun setakat ini tiada,” katanya.