Ranking JDT Naik Lagi, Kini Kelima Di Asia
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di kedudukan ke-231 dunia, kelima di Asia dan pertama di Asia Tenggara.
Menerusi perkongsian kelab bola sepak itu di laman Facebook, kedudukan tersebut berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 2 Oktober 2024. Laman ini telah banyak mengeluarkan data statistik berkenaan dunia bola sepak di seluruh dunia.
Dengan memungut 79.1 mata, JDT telah memanjat tiga anak tangga berbanding kedudukannya sebelum ini. Dengan kedudukan terbarunya, JDT berjaya mengatasi pasukan Ulsan HD iaitu pasukan yang dipimpin bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Kedudukan ini jauh meninggalkan pasukan dari Thailand, Buriram United yang berada di tangga ke-24 Asia dengan kutipan 76.1 mata dan pasukan Borneo dari Indonesia yang berada di tangga ke-175 Asia dengan kutipan 66.3 mata.
BACA: FIFA Sahkan Mats Deijl Tak Lepasi Syarat Untuk Sertai Harimau Malaya – FAM
Berada di tangga ke-110 di Asia, Selangor FC berada di kedudukan ke-1121 dunia, naik 135 anak tangga berbanding sebelum ini. Dengan mengumpul sebanyak 69.4 mata, pasukan ini diikuti oleh Terengganu di tangga ke-178 Asia dengan kutipan 66.1 mata.
Terdahulu, kedudukan JDT berada di tangga kelapan terbaik di Asia menerusi data yang dikeluarkan pada Ogos.

Sementara itu, JDT berjaya menumpaskan pasukan Shanghai Shenhua dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa dengan jaringan 3-0. Tiga jaringan tersebut disumbangkan oleh Arif Aiman Hanapi pada minit ke-11, Jorge Obregon pada minit ke-26 dan Juan Muniz di minit ke-80.
Jaringan Arif turut mendapat perhatian apabila detik itu dikongsikan di laman sesawang rasmi Liga Juara-Juara AFC.
https://www.facebook.com/reel/907819854579649
JDT seterusnya dijadualkan akan bertemu kelab Korea Selatan iaitu Gwangju FC pada aksi ketiga Kumpulan A ACLE. Perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Piala Dunia Gwangju pada 22 Oktober.
Saingan ACLE yang dahulunya dikenali sebagai ACL bermula dari 16 September hingga 19 Feb 2025 menggunakan format ‘sistem Swiss’ yang sama dengan Liga Juara-juara Eropah (UCL) 2024/25.