Siakap Keli
hilangkan bau siang ikan
Kredit: Bernama

10 Petua Hilangkan Bau Hanyir Lepas Siang Ikan

10 Petua Hilangkan Bau Hanyir Lepas Siang Ikan

Memasak di dapur sememangnya tidak dapat dielakkan daripada pelbagai bau-bauan.

Ada bau yang menyelerakan, namun ada juga yang kurang menyenangkan, terutama ketika mengendalikan bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging lembu.

Bagi sesetengah orang, bau ini biasa sahaja, tetapi bagi yang lain, ia boleh menyebabkan rasa mual atau loya, terutama ketika menyiang dan membersihkan ikan.

Walaupun terdapat pelbagai jenis sabun tangan di pasaran, tidak semua mampu menghilangkan bau hanyir yang melekat di tangan.

Ini menyebabkan ada yang memilih untuk menggunakan sarung tangan ketika memegang bahan mentah, kerana ia dapat mengelakkan tangan daripada ‘menyerap’ bau tersebut.

Namun, tidak semua orang selesa memakai sarung tangan semasa di dapur.

Jadi, apakah cara terbaik untuk menghilangkan bau hanyir di tangan selepas menyiang ikan?

Jangan risau, SK akan kongsikan beberapa petua mudah yang boleh dicuba untuk mengatasi masalah ini.

Berikut merupakan 10 petua menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di dapur untuk anda gunakan menurut perkongsian Hello Doktor.

1. Sos tomato

Tuang sos tomato ke atas tangan dan gosok pada seluruh tapak tangan. Biarkan beberapa minit, kemudian bilas.

2. Jus lemon

Campurkan jus lemon dengan sedikit soda bikarbonat supaya menjadi pes. Kemudian, sapu pes pada tangan dan biarkan selama beberapa minit. Setelah itu, bilas bersih.

3. Garam

Tabur garam pada tangan dan gosokkan tangan. Selepas itu, bilas tangan sehingga bersih. Pasti tangan anda bebas bau hanyir.

4. Hand sanitizer

Sembur hand sanitizer pada tangan dan biarkan mengering. Hand sanitizer mampu menghilangkan bau kerana mengandungi alkohol dan bahan-bahan lain yang boleh membunuh bakteria penyebab bau busuk.

5. Daun ketumbar

Gosok atau tenyeh sedikit daun ketumbar pada tangan, kemudian bilas selepas hilang bau hanyir.

6. Ubat gigi

Picit sedikit ubat gigi dan sapu ke seluruh tangan. Setelah itu, bila sehingga bersih.

7. Serbuk kopi

Sapu serbuk kopi pada tangan dan biarkan selama beberapa minit. Kemudian, bilas tangan. Menurut Hello Doktor, pastikan anda menggunakan serbuk kopi yang masih belum digunakan lagi.

8. Tisu basah bayi

Lap tangan menggunakan tisu basah bayi kerana ia mengandungi bahan pewangi yang boleh menghilangkan bau busuk.

9. Cuka

Campur cuka dengan garam sebelum sapu pada tangan. Biarkan selama satu minit sebelum bilas tangan anda dengan air suam.

10. Minyak zaitun

Tuang sedikit minyak zaitun pada tapak tangan, kemudian gosok sehingga hilang bau.

“Minyak zaitun mengandungi sebatian yang boleh memecahkan struktur trimethylamine, iaitu bahan punca penyebab bau tersebut,” katanya.

Dengan perkongsian ini, diharapkan tiada lagi bau kurang enak menghantui anda selepas memasak di dapur. Selamat mencuba.

BACA: Jangan Buang, Ini Tip Paling Mudah Cuci Bekas Plastik Berminyak

BACA: Wanita Korea Cakap Melayu, Ajar Cara Masak Japchae

BACA: Sedap Buat Hidangan Minum Petang, Ini Resipi Bubur Pulut Hitam

Sumber: Hello Doktor

Azizah Najib

Menulis tanpa henti