Siakap Keli
nak jadi macam ka
Kredit: Emyspiders

Budak Darjah 6 Dipuji Pandai Masak & Berdikari, “Nak Jadi Macam KA” 

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Budak Darjah 6 Dipuji Pandai Masak & Berdikari, “Nak Jadi Macam KA” 

Seorang bapa pasti bangga dan terharu melihat anaknya membesar menjadi seorang yang pandai berdikari.

Bermula dari langkah pertama hingga ke petah berbicara, setiap kejayaan ini dirai walaupun dalam diam. Apatah lagi apabila seorang anak yang masih setahun jagung sudah mempunyai kemahiran memasak.

Itulah yang dirasai oleh seorang pengguna TikTok, Emyspiders apabila melihat anak bujangnya yang berusia 12 tahun bersiap di pagi hari menyediakan sarapan. Bukan sekadar buat roti disapu kaya, anak lelaki sulungnya ini dilihat sedang menggoreng nasi dengan bersahaja, tanpa kelihatan kekok.

BACA: “Buatan Malaysia,” YouTuber Kongsi Kisah Datang Ke Malaysia Kerana Xbox

“Si along ni baru darjah 6, alhamdulillah dah tahu berdikari dah. Tidak la bapanya risau sangat.

“Katanya nak jadi macam KA,” kongsi si bapa.

Tanya saja kepada semua, nama Khairul Aming atau dikenali sebagai KA pasti dikenali. Seorang pempengaruh yang bermula dari merakam video memasak seorang diri sehingga memiliki perusahaan sambal. KA kini menjadi idola ramai anak muda.

Menerusi perbualan bersama Emyspiders, Muhammad Hadif Zharfan yang lebih selesa dipanggil Along didedahkan dengan kerja rumah seawal empat tahun. Bukan hanya si sulung, malah kesemua adik-beradiknya turut sama merasa.

“Ini termasuk mengemas rumah, membasuh pakaian, menyidai dan melipat pakaian.

“Tapi Along memang menunjukkan minat kepada masakan sejak di waktu tadika lagi sebab dia seorang yang suka makan. Setiap kali ibunya memasak dia pasti akan setia menemani sambil menolong apa yang sepatutnya,” ujarnya.

BACA: “Tulislah Bahasa Melayu Dengan Ejaan Penuh,” – Profesor Emeritus Abdullah Hassan

Biarpun Along minat memasak, namun masih terlalu awal untuk menyatakan Along bakal terjun dalam bidang kulinari.

“Tetapi sebagai ibu bapa, InsyaAllah kami akan bagi sokongan, nasihat dan dorongan kepadanya dalam apa jua bidang yang dia ingin ceburi,” tambahnya.

Ketika ditanya berkenaan tips yang boleh dititip buat ibu bapa muda, Emyspiders berkata mereka sentiasa memantau setiap aktiviti anak-anak. Hal ini berikutan keadaan kanak-kanak sekarang yang lebih terdedah dan mudah terpengaruh dengan mana-mana pempengaruh yang ada.

“Kami selalu berpesan kepada anak-anak, yang baik jadikan ikutan, yang tak elok kita tinggalkan,” katanya.

Menerusi pengalamannya sendiri, anak sulungnya lebih gemar melayari YouTube dan TikTok bagi mencari juadah baru untuk dicuba.

“Tetapi dalam kisah anak saya ni, jika ada masa luangnya dia banyak habiskan dengan melayari YouTube dan TikTok. Jika ada sesuatu makanan viral yang menarik minatnya, dia akan mengajak kami mencari makanan tersebut.

BACA: Sharnaaz Ahmad Kini Pemilik Carabat FC

“Selain itu, kalau dia ingin memasak sesuatu dia akan meminta izin dari ibunya untuk menggunakan dapur jika bahan-bahan semua dah tersedia dirumah.

“Jika sebaliknya, dia akan meminta saya ataupun ibunya membelikan bahan-bahan yang dia perlukan untuk sesuatu masakan tersebut,” kongsinya lagi.

Dia turut berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kebaikan untuk Along.

Biarpun hanya 24 saat, video yang dimuat naik itu membuatkan ramai warga maya yang turut terharu melihat kebolehan murid tersebut. Malah, rata-rata warga maya memberikan ucapan tahniah kepada Emyspiders dan pasangan yang berjaya membentuk peribadi anak mereka.

@emyspiders

si along ni bru darjah 6, alhamdulilah die reti berdikari dah.. idok le apak nye risau sangat.. kate nye nk jd mcm KA 😬.. #along #darjah6 #akhiratdidepan

♬ original sound – ysaniiieee – ysaniiieee

“Anak yang hebat. Susah nak jumpa budak sekarang pandai masak. Biasa sibuk dengan gajet je. Tahniah dik serta ibu bapa yang mendidik anaknya,” kata seorang warga maya.

“Alhamdulillah siapa ada anak-anak yang macam ni. Semoga jadi anak yang soleh dan berguna pada keluarga. Zaman sekarang spesis macam ni dah berkurangan,” luah seorang lagi.

“Ya, anak tu acuan ibu bapa. Tahniah. Masih ada yang ajar anak lelaki buat kerja rumah. Macam pak cik-pak cik saya semua pandai masak, pandai siang-siang, kemas semua. Sama-sama buat dengan pasangan, tak ada kata tu kerja siapa,” kongsi seorang warga maya.

“Sama mcm anak bujang saya sekarang Tingkatan 1. Kalau badan macam ni memang pandai masak sebab diorang jenis lapar saja. Sebab tu rajin masak. Ada saja idea kelentang-kelentung dekat dapur,” kongsi seorang lagi warga maya.

BACA: Kira Siap-Siap, Lelaki Kongsi Bajet Belanja Untuk Masuk Rumah Baharu

Sumber: Emyspiders

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.