Dua Pelajar Maut, Empat Cedera Akibat Disambar Petir
Indonesia – Dua daripada enam pelajar dari SMP Negeri 2 Bumiayu, Brebes Jawa Tengah disahkan meninggal dunia selepas disambar petir pada Rabu.
Sementara itu, empat lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Muhamadiyah Siti Aminah, lapor Kompas.
Mangsa, Ade Darmawan dan M Fahri Aziz disahkan maut oleh Ketua Jabatan Pendidikan Belia dan Sukan Kabupaten Brebes, Caridah.
“Memang (disahkan) dua maut. Sementara empat lagi sedang dirawat akibat melecur,” ujar Caridah.
BACA: Pengusaha Warung Pok Nong Celup Tepung Meninggal Dunia
Menurutnya lagi, pihak kerajaan bakal menanggung keseluruhan kos rawatan mangsa sepanjang mereka di hospital.
“Usaha sedang dilakukan untuk menampung kos sepenuhnya,” tambahnya lagi.
Terdahulu, detik melaporkan enam pelajar sekolah tersebut disambar petir sekitar jam 2 petang waktu tempatan. Menurut Pengetua SMPN 2 Bumiayu, Kukuh Sarjono, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika kesemua mangsa berada berdekatan pagar sekolah.
“Kebetulan selepas tamat sesi pembelajaran, mangsa pulang ke rumah. Hujan turun dan ketika mangsa tiba di luar pagar sekolah, mereka disambar petir,” kata Kukuh.
Maklumnya, keenam-enam mangsa dikejarkan ke hospital sejurus disambar petir.
BACA: Wanita Dijemput Ilahi Selepas Sebulan Bapa & Abang Meninggal Dunia
Wakil Perhubungan Awam hospital, Evi Marantika memaklumkan bahawa empat mangsa yang dipanah petir menunjukkan keadaan kesihatan yang semakin baik.
“Keempat pesakit sudah bertambah baik. Hanya seorang yang masih dipantau kerana kritikal.
“(Pesakit) Nizam sudah mula stabil. Malam tadi, keadaan dia nampak semakin pulih. Tetapi disebabkan mangsa baru melepasi tempoh kritikal, dia masih berada di bilik kecemasan.
“Tengah hari ini dia akan diperiksa semula. Andai keadaan baik, dia akan dipindahkan ke bilik pesakit dalam biasa,” ujarnya.

Setakat ini, keempat-empat mangsa masih menerima rawatan pemulihan kesihatan dan trauma.
“(Kami) masih menumpukan untuk mengatasi trauma dan memulihkan kesihatan mangsa. Jika keadaan bertambah baik, mungkin dua atau tiga hari lagi mereka akan dibenarkan pulang,” tambah Evi.