Siakap Keli
baik buruk antibiotik
Kredit: Bernama

Asal Demam Je Mesti Dapat, Ini Baik Buruk Antibiotik Yang Kita Terima Lepas Rawatan Doktor

Asal Demam Je Mesti Dapat, Ini Baik Buruk Antibiotik Yang Kita Terima Lepas Rawatan Doktor

Biasa kita hadapi, asal demam saja pasti doktor berikan antibiotik. Bukan hanya itu, sakit tekak pun kita terima antibiotik.

Pernahkah anda terfikir, apa itu antibiotik dan untuk apa doktor berikan antibiotik kepada kita?

Antibiotik ini merupakan salah satu daripada empat jenis antimikrob. Antimikrob digunakan untuk membunuh atau menghalang pertumbuhan mikroorganisma atau kuman. Antara kuman yang memerlukan antimikrob untuk dihapuskan ialah bakteria, virus, kulat dan parasit.

Jadi, setiap antimikrob ini ada fungsi tertentu untuk melawan kuman tertentu contohnya antibiotik ni digunakan untuk melawan bakteria. Jika anda terkena radang paru-paru atau pneumonia yang disebabkan oleh bakteria, antibiotik diperlukan untuk rawatan.

Jika anda masih ingat, pandemik virus yang melanda negara kita suatu ketika dahulu dicegah penularannya dengan vaksin, kan? Kini, untuk mengurangkan gejala, doktor menggunakan antiviral paxlovid.

Selain itu, rawatan panau juga menggunakan salah satu antimikrob iaitu antifungus. Malah, bagi mengatasi masalah kecacingan atau kudis buta, antiparasit diperlukan.

Untuk pengetahuan anda, kesemua antimikrob ini tidak hanya dimakan oleh manusia apabila mendapat jangkitan. Haiwan ternakan turut diberi antimikrob ketika sakit.

Biarpun pada hakikatnya kewujudan antimikrob ini pada asalnya untuk menyembuhkan, namun ia juga mampu mendatangkan bahaya yang lebih besar daripada jangkaan kita jika tidak digunakan dengan betul.

Setiap rakyat Malaysia sudah pasti pernah menerima rawatan antimikrob, dan yang paling kerap diterima tentulah antibiotik.

“Mesti habiskan mengikut masa yang ditetapkan,” pesan doktor.

Pernahkah anda bertanya kepada doktor, kenapa rawatan yang menggunakan antibiotik mesti mengikut arahan doktor? Jika tidak pernah, kali ini SK ingin tunjukkan kepada anda sebabnya.

Secara umumnya, semua ubat antimikrob termasuk antibiotik perlu dihabiskan mengikut tempoh tertentu dengan dos tertentu supaya tidak berlaku kerintangan antimikrob.

Salah satu perkara utama yang perlu kita tekankan ialah di kebanyakan klinik, antibiotik sering diberikan walaupun penyakit tersebut bukan disebabkan atau disyaki disebabkan oleh bakteria. Salah satu faktor penyumbang kepada perkara ini ialah terdapat pesakit yang meminta atau memberi tekanan kepada doktor yang merawat untuk memberikan antibiotik dengan harapan yang salah bahawa penyakit tersebut boleh sembuh lebih cepat.

Ini membawa kepada penggunaan antibiotik yang tidak perlu, kemungkinan kesan sampingan, dan meningkatkan risiko berlakunya AMR pada individu tersebut dalam minggu atau bulan yang akan datang.

Kesedaran yang lebih meluas diperlukan bahawa pengambilan antibiotik tanpa keperluan bukanlah sesuatu yang tidak berbahaya dan ia menyumbang kepada masalah AMR.

Apa itu kerintangan antimikrob?

Kerintangan antimikrob atau antimicrobial resistance (AMR) merujuk kepada keadaan di mana mikroorganisma atau kuman yang disebut tadi menjadi kebal kepada ubat yang biasa digunakan untuk melawan atau membunuh mereka.

Maksudnya, mikroorganisma atau kuman itu sudah tidak dapat dihapuskan menggunakan ubat yang pada asalnya berkesan melawan mereka.

Bagaimana kerintangan antimikrob berlaku?

AMR berlaku apabila mikroorganisma mengalami perubahan genetik atau mutasi yang membolehkannya terus hidup walaupun terdedah kepada antimikrob. Akibatnya, rawatan terhadap jangkitan biasa menjadi lebih sukar, lebih mahal atau boleh jadi terus tidak berkesan sama sekali.

Kredit: Kementerian Kesihatan Malaysia

BACA: Boleh Bawa Maut Jika Tak Dirawat, Ketahui Mengenai Demam Kepialu

Satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet pada tahun 2022 menganggarkan bahawa 1.27 juta kematian di seluruh dunia pada tahun 2019 secara langsung dikaitkan dengan AMR, terutamanya di negara-negara membangun.

Bukan itu sahaja, Bank Dunia turut memberi amaran bahawa AMR boleh menyebabkan kerugian tahunan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sedunia antara USD1 trilion hingga USD3.4 trilion menjelang 2030. Dah tak lama dah, lagi beberapa tahun saja.

Bank Dunia turut menganggarkan kos penjagaan kesihatan bertambah sebanyak USD1 trilion menjelang 2050 disebabkan AMR.

Secara terperinci, data tersebut turut menunjukkan anggaran seramai 28 milion orang di serata dunia bakal jatuh miskin disebabkan AMR. Malah disebabkan AMR juga, penghasilan ternakan seluruh dunia bakal menurun sehingga 7.5 peratus. Hal ini boleh menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan makanan sedunia.

Satu lagi kajian antarabangsa yang dijalankan, Laporan O’Neil pada 2014 meramalkan 10 juta kematian sedunia dengan 4.73 juta kematian berlaku di rantau Asia disebabkan AMR. Ini sememangnya satu angka yang tidak boleh dipandang ringan kerana angka ini mengatasi segala penyakit kronik lain seperti kanser, kolera (taun) dan kencing manis.

Jika angka-angka ini tidak dapat menjentik hati anda, mari kita lihat pula kesan AMR terhadap rakyat negara kita sendiri.

Pejabat Serantau WHO bagi Pasifik Barat (WPRO) telah mengeluarkan satu laporan iaitu Health and Economic Impacts of Antimicrobial Pacific Region 2020-2023 yang menganggarkan 87,000 kematian berkaitan AMR di Malaysia. AMR turut menelan kos ekonomi sebanyak USD2.5 bilion sepanjang tempoh tersebut.

Angka ini merupakan satu kerugian besar buat negara kita. Jika tidak ada langkah proaktif yang diambil oleh masyarakat, termasuk para penternak haiwan ternakan, ia akan mendatangkan masalah yang lebih besar kepada kita.

Antara masalah yang bakal kita tanggung apabila AMR semakin membarah ialah rawatan penyakit akan lebih sukar. Sebagai contoh, apabila bakteria menjadi kebal terhadap antibiotik, penyakit biasa seperti jangkitan paru-paru menjadi sukar untuk dirawat. Perkara ini membuatkan penyakit menjadi lebih teruk dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Selain itu, komplikasi juga berisiko menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kematian. Sebagai contoh, pesakit seperti kanak-kanak, orang tua atau pesakit kronik yang mempunyai sistem imun lemah lebih berisiko mengalami komplikasi jika dijangkiti kuman yang kebal. Perkara ini sekaligus menyebabkan rawatan yang lebih rapi diperlukan, membawa kepada rawatan dengan ubat yang lebih mahal.

Di samping itu, kesihatan haiwan ternakan turut terkesan selain memberi kesan kepada alam sekitar.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan sebagai orang awam? Bolehkah kita membuat perubahan kepada jangkaan ini?

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, perkara paling penting yang kita perlu tahu ialah faktor utama yang menyumbang kepada AMR.

Di Malaysia, AMR paling banyak berlaku disebabkan penggunaan berlebihan atau tidak sesuai oleh pesakit. Perkara ini tidak hanya berlaku dalam kalangan manusia, malah haiwan ternakan, peliharaan dan pertanian. AMR turut berlaku apabila pesakit, penternak dan petani tidak mematuhi rawatan yang betul.

Antara contoh paling mudah rawatan yang tidak dipatuhi dengan betul ialah antimikrob digunakan untuk tempoh yang terlalu singkat atau terlalu lama. Begitu juga apabila pengambilan antimikrob dihentikan tanpa nasihat doktor biarpun pesakit merasa sudah sihat.

Penggunaan dos antimikrob yang tidak sesuai, sama ada terkurang atau terlebih juga merupakan amalan rawatan yang tidak betul.

Selain itu, berkongsi antimikrob dengan individu lain dan menggunakan semula antimikrob yang tidak dihabiskan bagi jangkitan pada masa hadapan juga merupakan amalan rawatan yang tidak betul.

Penggunaan rawatan antimikrob dalam sektor pertanian dan penternakan menjadi punca utama penyebaran AMR apabila penggunaan antibiotik yang tidak terkawal terhadap haiwan ternakan, contohnya, boleh menyebabkan sisa antibiotik masuk ke dalam badan manusia menerusi rantaian makanan.

Tambahan pula, sisa haiwan yang mengandungi ubat dan kuman kebal boleh mencemari air dan tanah. Akhirnya, ia bakal menjangkiti manusia dan haiwan lain.

Malah, sisa antimikrob yang dilepaskan melalui air buangan kilang farmaseutikal, industri, ladang ternakan atau fasiliti kesihatan turut menyumbang kepada penyebaran kuman yang kebal.

Sebagai orang awam, terdapat beberapa langkah mudah yang dapat anda lakukan sebagai sumbangan anda dalam mengurangkan risiko penyebaran AMR.

Antaranya ialah guna antimikrob dengan betul seperti yang dipreskripsi oleh doktor, cegah jangkitan dengan menjaga kebersihan diri, mendapatkan vaksinasi yang disarankan oleh pengamal perubatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pastikan anda mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam secara konsisten dan mengelakkan pengambilan bahan-bahan berbahaya. Di samping itu, anda juga boleh cuba untuk mengawal tekanan yang dihadapi dengan baik selain melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Pengawalan penyakit berjangkit (NCDs) juga penting dalam pengamalan gaya hidup yang sihat.

Apabila anda mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang disenaraikan tadi, anda dapat membantu mengurangkan risiko dijangkiti penyakit. Sekaligus perkara ini dapat mengurangkan keperluan menggunakan antimikrob.

Sama-sama kita menggalakkan saudara-mara dan kenalan agar menggunakan antimikrob secara bertanggungjawab demi menjaga kesihatan kita dan generasi akan datang.

“Gunakan Antimikrob Hanya Bila Perlu”

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.