Siakap Keli
program kereta api
Kredit: KTMB

Guru Kongsi Program Pengajian Buat Peminat Kereta Api

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Jarang Didengar, Guru Kongsi Program Pengajian Buat Peminat Kereta Api

Mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penamat bagi satu-satu perjalanan kehidupan dalam menuntut ilmu. Apa sahaja keputusan yang diterima, masih ada ruang dan peluang bagi melanjutkan pelajaran dalam negara.

Jika dahulu, dengan institut pengajian tinggi yang terhad, generasi waktu itu tidak mempunyai pilihan yang meluas dalam menentukan masa hadapan mereka. Beruntungnya generasi kini, pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati sejak kecil begitu meluas.

Baru-baru ini, seorang guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar berkongsi satu program lanjutan di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sesuai buat peminat kereta api.

Diploma Komunikasi dan Semboyan atau Diploma in Rail Signalling and Communication Technology (DSC) merupakan program kerjasama Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) bersama Malaysia Rail Development Corporation (MRDC).

Biarpun program seperti ini tidak popular, namun besar maknanya buat mereka yang benar-benar meminati bidang ini. Apatah lagi jika minat tersebut sudah lama tersemat di hati sedari kecil.

Sebagai pengetahuan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti menyasarkan untuk melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran yang bertumpu kepada teknologi isyarat dan komunikasi dalam sistem pengangkutan rel.

“Program ini merangkumi asas elektrik dan elektronik, sistem operasi dan pengurusan, kuasa dan elektrifikasi, serta sistem penggera kebakaran dan pemantauan. Begitu juga teknologi komunikasi, sistem automasi dan kawalan, penghantaran serta pengurusan keselamatan, dengan penekanan kepada bidang pengkhususan.

“Kursus pengkhususan termasuk keselamatan dan operasi standard dalam industri rel, pengurusan projek, prosedur reka bentuk dan pembangunan, peraturan serta etika dalam industri rel, serta reka bentuk dan operasi pengurusan kualiti,” maklum jabatan berkenaan menerusi Portal Pengambilan Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti.

Ketika ditemu bual SK, Abdul Muiez Mohammad Ruslee atau lebih mesra dipanggil Cikgu Muiez memaklumkan perkongsian program ini atas niat membantu ibu bapa dan pelajar dalam membuat pilihan masa hadapan.

“Saya bermula dengan mencari maklumat untuk disampaikan kepada murid-murid di sekolah saya. Apabila saya buat secara dalam talian, terutamanya saya bermula dengan YouTube, makin lama makin ramai orang dapatkan maklumat daripada saya.

“Perkongsian saya itu semakin bercambah, tidak tertumpu hanya kepada murid-murid di sekolah saya tetapi banyak juga orang di luar sana terutamanya ibu bapa yang banyak ikuti saya di Facebook serta murid-murid yang banyak ikuti saya di TikTok. Mereka dapat maklumat itu.

“Saya berkongsi untuk menyampaikan maklumat-maklumat yang mungkin ibu bapa tidak tahu. Sebagai contoh program kereta api ni lah.

“Sebenarnya ibu bapa ni masih mendahagakan maklumat-maklumat seperti ini, maka tugas saya untuk berkongsi dengan sekadarnya berdasarkan ilmu yang saya ada,” jelasnya.

Ikuti perkongsian lanjut Cikgu Muiez berkenaan program DSC di bawah.

Masa UPU baru buka dulu, saya godek-godek tengok apa kursus yang paling orang tak mohon.

Masa tu, Program In Rail Signalling and Communication Technology (DSC) hanya ada 6 orang saja yang mohon.

Terus saya tanya geng Politeknik. Saya nak minta maklumat mengenai kursus ni daripada mereka.

Bila saya baca, masyaAllah. Punyalah besar peluang pekerjaan untuk kursus ni. Tapi itulah. Namanya pun tak popular. Mungkin sebab tu tak ramai yang memohon.

Minat dengan teknologi isyarat komunikasi kereta api?

Program In Rail Signalling and Communication Technology (DSC) ni adalah program diploma khas dalam bidang teknologi isyarat komunikasi kereta api – dan hanya ditawarkan di Kolej Komuniti Masjid Tanah!

Apa yang buat program ni istimewa?

1. Program ‘killer’ – Sentiasa dapat sambutan hangat daripada ibu bapa & pelajar!

2. Pengambilan 2 kali setahun – Tapi tempat terhad! Hanya 25 pelajar je akan diterima setiap sesi melalui saringan temu suai.

3. Tempoh pengajian: 3 tahun – 2 tahun belajar di kolej, 1 tahun Work-Based Learning (WBL) terus dalam industri.

4. Belajar dengan teknologi terkini – Ada prototaip simulasi stesen kereta api yang berkonsepkan fasiliti di Melaka, hasil sumbangan pihak industri.

5. Peluang ke China! – Ada kolaborasi dengan industri & IPT di China untuk pelajar menerokai teknologi kereta api di sana!

6. Tawaran kerja tinggi – Majoriti pelajar terus dapat kerja selepas tamat WBL. Ada yang siap dapat tawaran masa tengah latihan lagi!

7. Boleh sambung ijazah – Contohnya di UniKL dan beberapa IPT lain.

Syarat Kemasukan:

1. Warganegara Malaysia

2. Lulus SPM (Lulus BM & Sejarah)

3. 3 kepujian (Gred C) dalam mana-mana subjek

Kalau minat dunia teknologi & nak kerja dalam industri yang berkembang pesat, program ni memang pilihan terbaik!

Amacam? Berminat?

Maaf. Program ini ada temu duga. Jadi, dah tak boleh memohon pada fasa 2.

Setakat hari akhir UPU fasa 1, hanya 100 lebih sahaja yang memohon.

Semoga kalian berjaya mendapat tempat dalam kursus ini.

Begitulah.

Dilantik sebagai edufluencer Kementerian Pendidikan, Cikgu Muiez menggalas tanggungjawab membantu generasi muda menentukan hala tuju hidup mereka selepas SPM.

“Bukan itu sahaja, saya juga telah dilantik oleh POLYCC yang mana di bawahnya ada Kolej Komuniti dan juga Politeknik sebagai rakan promosi untuk promosikan kursus-kursus yang ada di Politeknik dan Kolej Komuniti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tip yang boleh dikongsi kepada mereka yang berminat untuk mendapat maklumat program yang jarang didengar seperti ini, Cikgu Muiez menyarankan orang ramai memuat turun aplikasi UPUPOCKET.

“Bagi program aliran TVET pula, boleh cari dekat laman sesawang UP_TVET. Dekat situ ada maklumat mengenai kursus, universiti atau Institut Latihan Kemahiran Awam yang terlibat dalam program-program TVET ini. Boleh juga rujuk orang yang berpengalaman seperti kami, edufluencer yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan POLYCC,”

Sebelum menamatkan sesi temubual, Cikgu Muiez sempat meninggalkan pesan buat para pelajar.

“Kepada anak murid sekalian, tolong cari maklumat sebab apa maklumat yang anda dapat hari ini bakal menentukan siapakah anda pada masa akan datang. Bila tak dapat maklumat, mungkin ada antara anda yang tersalah pilih,” titip beliau.

BACA: Elak Terkandas Pulang Raya, Ini Senarai Barang Kit Kecemasan Kereta

Sumber: Facebook Abdul Muiez, Dewan Kosmik DBP, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.