Jangan Tersilap, Wanita Kongsi Cara Betul Anyam Ketupat & Isi Beras
Tanpa ketupat dihidangkan, raya kita rasa tak lengkap, kerana ia sudah menjadi tradisi turun temurun dalam kalangan masyarakat Melayu untuk menikmati rendang bersama ketupat dan ‘adik beradiknya’ yang lain, iaitu lemang dan nasi impit.
Sekarang, semuanya boleh dibeli atas talian termasuklah ketupat ‘frozen’ yang telah pun direbus sehingga separuh masak atau sepenuhnya, kita hanya perlu sambung proses memasak je.
Namun, setiap penjual yang mengambil pesanan ketupat sudah tentu mempunyai kuota penjualan sebab mereka pun nak pulang ke kampung halaman untuk beraya, nak pula ketupat boleh mengambil masa untuk dianyam, belum lagi kalau terbuka atau bocor.
Memandangkan Raya dah dekat, hari ini SK kongsikan pula cara menganyam ketupat bawang dan ketupat pasar menerusi pengguna Facebook Salwa Hamzah dalam kumpulan Masak Apa Hari Ni (MAHN) di bawah.
Cara Anyam Ketupat Bawang Dan Ketupat Pasar
Ketupat Bawang

1. Bahagian daun paling lebar dibiarkan lebih panjang, satu menghadap atas, satu menghala bawah barulah anda membuat tiga lilitan setiap daun pada tangan.
2. Bila anda telah membuat tiga lilitan, anda boleh mula menganyam kedua-dua daun tadi dengan masukkan setiap lilitan berselang seli sehingga anda memegang bahagian lebih lebar yang dibiarkan tadi.

3. Bahagian daun tersebut akan dipusingkan lalu dimasukkan ke dalam dan anyamnya dengan helaian tengah.
4. Kemaskan lebihan ekor daun yang ada secara selang seli, mengelilingi rangka ketupat.
5. Apabila ketupat telah terbentuk, anda akan mempunyai lebihan ekor untuk mengetatkan anyaman ketupat untuk mengelakkan beras daripada bocor.

6. Ketatkan setiap jalur satu persatu sehingga bertemu dengan ekor lalu tariknya sehingga tiada rongga pada rangka.
Ketupat Pasar

1. Sama seperti ketupat bawang anda memerlukan dua helai daun, tetapi ia menggunakan empat lilitan pada tangan kanan dan kiri.
2. Mula anyam lilitan satu persatu secara selang seli, dan pusing satu lebihan bahagian lebar dan anyamnya.
3. Pastikan anda kemaskan anyaman satu persatu sebelum ke langkah seterusnya.

4. Dah kemas, anda boleh sambung proses dengan menarik keluar ekor daun, bertemu hujung daun yang lebar. Anyam ekor daun ke bahagian yang masih kosong.
5. Ulang langkah ini dengan ekor daun yang lagi satu.

6. Memandangkan sisi ekor ditarik keluar tadi telah kosong, gunakan bahagian lebar daun yang masih ada untuk anyam sisi tersebut.
7. Sisip anyaman satu persatu sehingga ketat dan tiada ruang untuk beras keluar.
Cara Isi Sukatan Beras Untuk Ketupat

1. Pada bahagian ekor daun, tekan ke bawah satu petak anyaman dan isi beras ke dalamnya.
2. Beras yang diisi mestilah lebih sedikit daripada suku rangka ketupat.
3. Tekan sahaja luar rangka ketupat untuk anda mengagak paras beras yang telah diisi.

4. Selesai mengisi ketupat, potong sedikit petak anyaman terakhir dan selitkan ekor daun untuk bertemu ekor daun yang lain.
Menurut Salwa, sekiranya terlebih beras, ketupat akan menjadi keras, manakala ia boleh menjadi lembik jika sukatan beras terkurang apabila selesai masak.
Selamat mencuba.
Sumber: Facebook Salwa Hamzah