Rupiah Indonesia Jatuh Ke Paras Terendah Sejak 1998
Indonesia – Nilai tukaran wang Rupiah ke Dolar AS mencapai Rp16,651 bagi setiap Dolar AS pada dagangan Selasa. Catatan tukaran itu merupakan rekod terendah nilai tukaran mata wang tersebut sejak krisis kewangan yang berlaku pada Jun 1998, lapor Nasional Kontan.
Namun, penutupan pasaran tunai menyaksikan Rupiah melemah 0.27% ke paras Rp16,612 bagi setiap Dolar AS manakala Rupiah JISDOR menurun kepada 0.36% kepada Rp16,622 bagi setiap Dolar AS.
Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto, menganggap turun naik tukaran Rupiah ini sebagai sesuatu yang wajar berlaku. Menurutnya, beliau masih optimis terhadap asas ekonomi Indonesia yang masih kukuh.
“Dalam jangka sederhana dan panjang, eksport Indonesia masih kuat, disokong oleh rizab pertukaran asing yang kukuh dan perdagangan yang baik,” kata beliau.
Menurutnya lagi, pertukaran asing hasil eksport bakal memperkuat kedudukan Rupiah pada masa hadapan. Malah, kerajaan juga akan meneruskan usaha menjaga kestabilan nilai pertukaran.
“Sudah tentu eksport masih terus berjalan. Pengagihan kuasa pusat mengikut arahan Presiden dan kemudahan mendapat keizinan akan melancarkan proses import dan eksport,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Aset Monetari dan Sekuriti Bank Indonesia, Edi Susianto berkata, keadaan ini adalah disebabkan oleh pengukuhan Dolar AS sehingga memberi kesan terhadap kebanyakan mata wang Asia, termasuk Rupiah.
“Beberapa mata wang Asia melemah berbanding Dolar AS, didorong oleh pengukuhan DXY,” katanya kepada CNBC Indonesia pada Selasa.
Tambahnya lagi, situasi domestik turut menyumbang kepada kemerosotan Rupiah. Beliau mendakwa keperluan terhadap Dolar AS ketika ini meningkat termasuk bagi pembayaran dividen dan pembayaran hutang.
“Dalam negara, terdapat permintaan terhadap keperluan repatriasi dan pembayaran lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kehadiran Bank Indonesia dalam pasaran bertujuan memantau perkembangan Rupiah dan bersedia untuk campur tangan jika perlu.
“Sudah tentu, kami memasuki pasaran dengan berani untuk mengekalkan keseimbangan penawaran dan permintaan pertukaran asing di pasaran,” maklum beliau.
BACA: Enjin Terbakar, Pesawat Air Asia Selamat Mendarat Di KLIA 2
BACA: Juruterbang Lupa Bawa Pasport, Pesawat Terpaksa Berpatah Balik
Sumber: Nasional Kontan, CNN