Siakap Keli
resipi udang masak diraja
Kredit: Facebook Aryati Sarah

Warisan Turun-Temurun, Wanita Kongsi Resipi Udang Masak Diraja

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Warisan Turun-Temurun, Wanita Kongsi Resipi Udang Masak Diraja

Hidangan makanan laut sememangnya dapat menambat hati sesiapa sahaja. Sama ada udang, sotong mahupun ketam. Mempunyai rasa manis yang tersendiri, makanan laut yang segar meninggalkan pengalaman luar biasa terutamanya buat mereka yang jarang dapat menikmati hidangan ini.

Bagi memastikan hidangan makanan laut itu berbaloi dengan harga yang dibayar, resipi dan cara memasak perlu menonjolkan rasa segar makanan laut tersebut. Antara hiawan laut yang sesuai dicuba mereka yang tidak biasa memasak makanan laut merupakan udang.

Kali ini, SK ingin kongsikan bersama pembaca cara untuk memasak udang galah. Tidak hanya sedap berlemak, malah rasa segar udang dapat dikekalkan menggunakan resipi ini. Ikuti perkongsian resipi udang masak diraja oleh seorang pengguna Facebook, Aryati Sarah di bawah.

Bahan utama resipi ini sudah tentu udang galah. Anda dicadangkan untuk menggunakan setengah kilogram udang galah atau boleh juga menggunakan udang kertas.

Kredit: Bernama

Aryati turut berikan petua bagi mengetahui sama ada udang tersebut segar atau tidak.

“Masa beli tu, tengok kalau udang segar tu berkilat je dan tekan sikit udang. Kalau keras, kenyal maksudnya segar lah tu,” titip wanita tersebut.

Sebelum mula memasak, sediakan dahulu bahan-bahan untuk dikisar.

Anda perlukan empat biji bawang besar, empat ulas bawang putih dan empat tangkai cili kering. Sediakan juga dua inci lengkuas dan satu inci halia. Kisar halus kesemua bahan dan ketepikan sebentar.

Satu tip untuk mengisar, pastikan anda masukkan lengkuas dan halia dahulu sebelum bawang besar, bawang putih dan cili kering kerana kedua bahan tadi bersifat keras berbanding bahan lain.

Seterusnya, resipi ini memerlukan dua batang serai dan satu hiris asam keping. Titik serai selepas dibersihkan. Untuk bahan perasa, sediakan setengah sudu kecil serbuk kunyit, satu sudu kecil gula, setengah sudu kecil garam. Resipi ini juga perlukan satu cawan santan pekat.

Untuk pengetahuan, santan pekat merupakan santan yang diperah kali pertama dari santan parut. Perahan kedua pula kita panggil santan cair.

Menurut Aryati ketika ditanya SK, santan pekat boleh digantikan dengan santan kotak.

“Boleh juga guna santan kotak, setengah kotak dah cukup,” pesannya.

Setelah semua bahan siap disediakan, mari kita mula memasak. Basuh dan buangkan tahi udang terlebih dahulu. Kemudian, ketepikan.

Berdasarkan resipi istimewa ini, anda perlu tumis dahulu bahan-bahan yang telah dikisar tadi hingga naik bau. Kemudian, masukkan serai dan udang. Kacau hingga sebati. Apabila bahan sudah sebati, masukkan pula santan, serbuk kunyit dan asam keping.

Jangan lupa untuk perasakan lauk dengan garam dan gula. Anda juga boleh gunakan perasa tambahan jika mahu. Gaul sebati. Apabila udang sudah masak, tutup api, kemudian hidangkan. Hidangan udang masak diraja sedap dinikmati bersama nasi putih dan sirap selasih.

Menerusi resipi ini, Aryati turut menitipkan pesanan agar tidak memasak udang terlalu lama kerana ia boleh menghilangkan rasa segar udang tersebut.

Selamat mencuba.

Sumber: Facebook Aryati Sarah via Kumpulan Masak Apa Hari Ini

BACA: Tip Masak Kuah Laksam Pekat Berlemak, Makan Pasti Menambah

BACA: Rupanya Ini Tip Mudah Rebus Nasi Himpit, Jimat Masa

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.